Tuesday, April 30, 2013

DILEMA DEKORASI: RUANG LALUAN MASUK YANG TERLALU PANJANG

DILEMA: Saya baru membeli sebuah kediaman jenis apartmen dan sedang melakukan proses pengubah suaian. Apabila melihat ke ruang laluan masuk yang agak panjang dan sempit, saya terus buntu bagaimana untuk mendekorasi ruang ini meskipun telah meletakkan beberapa buah lukisan di dinding. Diharap pihak imanpuri interior & architecture dapat membantu menyelesaikan dilema saya ini.
SOLUSI: Jangan biarkan ruang ini menyekat gaya dekor bagi ruang kediaman anda. Biarpun ruang laluan masuk merupakan ruang transisi, ia juga memainkan peranan penting dalam mencipta tarikan utama kepada wajah keseluruhan kediaman. Sememangnya bukan 24/7 kita meluangkan masa berada di ruang ini, namun secara estetiknya ia wajar didekorasi dengan penggayaan yang sempurna. Berikut merupakan empat solusi yang boleh anda lakukan dalam proses pengubah suaian ruang laluan masuk kediaman anda:

Via link

1.     Catkan dinding dengan rona kelabu gelap. Cat adalah cara termudah dan termurah bagi mengubah wajah apa sahaja ruang. Malahan, dengan warna juga atmosfera dan mood sesebuah ruang dapat dibangkitkan. Bagi memberikan ruang laluan ini kelihatan lebih dramatik, catkan dinding dengan rona kelabu gelap, dan mungkin juga boleh diaplikasikan di bahagian siling! Perincian kemasan kayu berona putih akan memberikan kontras kepada ruang seterusnya menyeimbangkan keseluruhan wajah ruang.
 
Via link


2.     Warnakan pintu dan bahagian kerangka dengan rona hitam. Ia dapat menyerlahkan perincian seni bina ruang. Malahan ia secara tidak langsung menyembunyikan keadaan ruang laluan yang terlalu panjang dan memberikan impak ruang yang lebih elegan.


Via link


3.    Cat berjalur. Catkan dinding secara berjalur lebar melintang rona hitam dan putih. Ia mungkin kedengaran agak keterlaluan, tetapi anda akan kagum dengan hasilnya.


Via link


4.     Gunakan kertas dinding. Kertas dinding adalah cara terbaik untuk menerbitkan ilusi ruang yang berlainan dan mengubah persepsi mengenai sesebuah ruang. Tiada had dalam penggunaan warna mahupun tema yang ingin digayakan. Apa sahaja motif boleh dipilih asalkan bertepatan dengan wajah keseluruhan kediaman. Jika tidak tahu membuat pilihan, tanyakan kepada pakar bagi membantu anda memilih kertas dinding yang bertepatan dengan gaya dekorasi kediaman.

Sekiranya mempunyai dilema dekorasi yang ingin dikongsikan bersama, ajukan soalan di laman facebook imanpuri atau emailkan ke imanpuri@yahoo.com.

Wednesday, March 20, 2013

DIMENSI WARNA - BAHAGIAN 2

Salam dekorasi,

Kesinambungan daripada artikel yang lepas, entri kali ini adalah sambungan bagi Dimensi Warna-Bahagian 2. Selain dimensi warna putih dan gelap, dimensi warna yang seterusnya adalah warna natural dan terang.

NATURAL

Tenang dan mendamaikan, palet warna natural serasi dengan aliran trend yang banyak dipertontonkan aplikasinya pada unit kabinet, perabot, aksesori bilik air selain latar cat dinding yang biasa digayakan. Malahan, pilihan tema natural adalah lebih praktikal kerana mengilhamkan penggayaan yang lebih harmoni.


Via blog
Via web

ELAKKAN menggayakan warna natural yang gelap sekiranya anda menggabungkan di antara dua fungsi ruang, seperti ruang dapur dengan ruang tamu atau ruang bilik tidur dengan bilik air. Gunakan warna yang lebih terang kerana akan memudahkan padanan dengan perabot, fabrik dan kemasan lantai. Anda boleh menggunakan warna gelap bagi memberikan penyataan yang lebih dramatik.



Via web

Tip dekor:

·  Jangan jadikan suasana terlampau bosan. Meskipun ia pilihan warna yang selamat, anda mesti menonjolkan wajah ruang dapur dan bilik air yang lebih menarik, cantik serta memberi refleksi kepada personaliti anda.

·  Padankan rona natural dengan pilihan warna senada yang lebih perlahan bagi skema penggayaan yang lebih harmoni.
 
Via web
 
·  Pilihan material seperti venir atau batu semula jadi seperti limestone dapat memberikan impak natural yang hebat dengan perincian tekstur dan motifnya.
 

Via web


TERANG

Serakan warna memberikan anda pilihan gaya lebih spesifik, selain dapat membantu menceriakan lagi suasana ruang dapur atau bilik air. Warna dapat memberikan inspirasi dan dorongan bagi anda mencuba memasak di ruang dapur. Warna-warna yang cerah sesuai dikombinasikan bersama palet natural atau hitam atau putih. Tidak perlu menggunakan ia terlalu banyak, cukup sekadar memberikan titik tumpu kepada ruang yang digayakan.


Via web
Via blog
 
ELAKKAN penggunaan warna yang terlampau banyak. Anda tidak mahu ruang dapur dan bilik air kelihatan seperti taman tema kanak-kanak. Tetapkan untuk gunakan satu atau dua elemen warna bagi menyerlahkan skema ruang yang sekata.

Via web
 
Tip dekor:

·  Splashback merupakan elemen yang terbaik untuk anda menonjolkan pilihan warna di ruang dapur ataupun bilik air. Bagi ruang dapur, ia akan menyerlahkan personaliti dan keanggunan wajah ruang manakala bagi bilik air penggunaan splashback memudahkan permukaan di ruang pancuran mandi dibersihkan.

Via web

·  Gunakan warna untuk menonjolkan perincian terbaik bagi sesebuah ruang. Anda boleh mempertimbangkan untuk menambahkan percikan warna pada ruang dinding membelakangi kaunter basin di bilik air.
 
Via blog
 
·  Kehadiran pelbagai pilihan warna bagi kabinet dapur juga memberikan dimensi warna yang lebih hebat kepada ruang. Namun perlu diingatkan untuk meminimakan kombinasi warna bagi unit kabinet dapur anda bagi mengelakkan pemandangan ruang yang berserabut.
 

Via web


Selamat bereksperimentasi dengan dimensi warna  dalam penggayaan ruang dapur dan bilik air kediaman!




Saturday, March 9, 2013

DIMENSI WARNA - BAHAGIAN 1

Gayakan ruang dapur dan bilik air anda dengan cara mudah untuk mendapatkan keanggunan melalui dimensi warna.

PUTIH

Ruang dapur dan bilik air bertemakan warna putih bukan sesuatu yang baru. Malahan biasan warnanya dapat memberikan kesan yang lebih hebat dalam mempengaruhi kecerahan ruang. Bagi ruang dapur besar yang menerima banyak pencahayaan semula jadi pula, penggayaan warna putih dapat membangkitkan keselesaan ketika dipandang. Manakala bagi bilik air pula, warna putih menambahkan elemen pencahayaan kepada ruang selain menggambarkan kebersihan. Meskipun agak sukar untuk diselenggara, namun anda boleh menambahkan sedikit tekstur dan tona melalui batuan semula jadi dan kabinet penstoran bagi mengelakkan keadaan ruang kelihatan begitu kotor keseluruhannya.



Via web
 
ELAKKAN  ruang kelihatan terlampau klinikal. Gunakan tekstur natural dan variasikan di antara kemasan pusam dan berkilat bagi mencipta atmosfera ruang yang lebih tenang dan mengalu-alukan.

Tip dekor:

·        Ciptakan skema gaya ‘country’. Serlahkan perincian dan juga tekstur seperti aplikasi panel dinding tounge-and-groove, unit kabinet dan jubin.
 

Via web
 
·        Skema warna all-white memberikan anda lebih peluang untuk bermain dengan perincian yang lebih halus. Tidak semestinya warna putih hanya terhad kepada pilihan warnanya yang polos sahaja. Pilihan tona yang berbeza dapat membawakan efek ruang yang lebih menarik dan sofistikated, bukannya serabut.

·        Gunakan elemen natural bagi mencipta daya tarikan kepada ruang bilik air berskema putih. Anda boleh menggayakan bahagian kaunter dari material venir, di mana akan memberi impak kasual elegan.


Via web

·        Permukaan lantai batu akan menyerlah bilik air ataupun pelbagaikan penggunaan jubin dengan efek atau tekstur berbeza bagi mengurangkan kesan kotoran berlaku.


GELAP

Elegan dan dramatik, itulah yang dapat diungkapkan bagi bilik air yang dilatari jubin berskema gelap dari ruang lantai ke siling yang menciptakan mood yang lebih intim. Apatah lagi digandingkan dengan pencahayaan yang sepadan bagi menimbulkan suasana yang diingini. Teori yang sama boleh diguna pakai bagi mewujudkan ruang dapur hitam yang dramatik dengan plan ruang terbuka.


Via web
ELAKKAN skema warna gelap sekiranya ruang dapur atau bilik air anda kurang mendapat pencahayaan semula jadi. Ini kerana ruang praktikal seperti ini, anda memerlukan fungsi pencahayaan yang secukupnya bagi menerbitkan impak ruang lebih cerah.

Via web

Tip dekor:

·        Kombinasikan dua kemasan yang berbeza di dalam ruang yang sama seperti pusam dengan metalik.

·        Lembutkan kontras ruang. Ruang dapur berskema hitam akan menyerlahkan kombinasi warna yang klasik dengan penggabungan rona kelabu yang hangat digayakan kini.

·        Selain penggayaan dinding yang gelap, anda boleh juga menukarkan pintu kabinet dapur dengan pelbagai jenis material yang boleh didapatkan di pasaran.

Via web

·        Pastikan aplikasi material yang betul. Jubin natural berona gelap pada ruang dinding pancuran mandi adalah pilihan yang kurang tepat. Ia akan memberikan reaksi terhadap bahan kimia yang terdapat di dalam sabun dan syampu, mengakibatkan warnanya menjadi kusam. Hanya gunakan warna hitam di ruang kering atau gunakan pilihan warna kelabu pada keseluruhan warna dinding.
 
Via web
 
Nantikan artikel Dimensi Warna-Bahagian 2 di entri akan datang. Salam dekorasi!

Saturday, March 2, 2013

Dekorasi Wujudkan Atmosfera Selesa

Keselesaan sesebuah ruang bukan sekadar bergantung kepada kelengkapan perabot yang mengisinya. Ia adalah kombinasi sempurna dengan gaya dekor yang menarik, seterusnya mewujudkan sebuah ruang yang lebih selesa. Apatah lagi ruang tersebut merupakan sebuah klinik pergigian. Bagaikan sudah menjadi satu perkara yang mengerikan bagi sesetengah orang apabila membicara perihal klinik pergigian. Kesakitan dan juga ubatan adalah perkara pertama yang dibayangkan di minda.
Gambaran perspektif klinik untuk direalisasikan 
Apakah cara yang terbaik yang boleh diambil oleh pemilik klinik sebegini?
Ya, gaya dekorasi yang menarik dan selesa adalah jawapan yang dapat membantu menyelesaikan senario yang biasanya membebani emosi pesakit. Ilham tata hias dalaman secara tidak langsung mewujudkan atmosfera ruang yang selesa dan mendamaikan jiwa pesakit. Inilah yang diinginkan oleh Dr. Maisarah, pemilik Klinik Al-Ansar, sebuah klinik pergigian yang terletak di Alam Budiman. Imanpuri Interior & Architecture telah merealisasikan gaya ruang yang kelihatan menawan serta menerapkan aspek keselesaan buat pengunjung klinik ini.

Bagaimana dengan pilihan konsep dan warna?
Kontemporari adalah konsep yang dilihat membawa keringkasan kepada wajah ruang, di mana bersesuaian untuk digayakan bagi klinik ini. Selain itu juga, pemilik klinik ini mahukan suasana santai yang boleh dirasakan pengunjung laksana di kediaman sendiri. Satu sudut juga telah diperuntukkan sebagai ruang permainan untuk kanak-kanak. Memilih rangkaian rona hijau tua dan muda sebagai warna dominan, ternyata ia merupakan pilihan tepat bukan sahaja dari sudut dekorasi tetapi juga psikologi. Warna hijau tua secara psikologinya merupakan warna penyembuhan. Ia juga dipercayai dapat membantu badan menjadi lebih tegap, menyeimbangkan equilibrium dan menggalakkan kestabilan. Malahan, rona ini juga dapat menggalakkan kesejahteraan emosi. Sememangnya hijau pilihan warna ideal bagi klinik pergigian yang seringkali dilabelkan sebagai tempat menakutkan terutamanya bagi kanak-kanak, kadangkala bagi yang dewasa juga.
Apakah aspek pengubahsuaian yang telah dilakukan?
Menyentuh aspek tata hiasan dalaman, ia telah melibatkan proses pengubahsuaian besar-besaran. Oleh kerana ruang asalnya seperti ruang pejabat biasa, melalui proses pengubahsuaian dapat diperuntukkan dua bilik rawatan termasuk sebuah bilik x-ray, bilik pensterilan, pejabat mini, stor janitor, pantri berkembar surau mini dan bilik air. Selain itu, pengubahsuaian yang dilakukan juga perlu memenuhi beberapa syarat dan peraturan wajib  diikuti seperti kelebaran pintu yang minima dan aspek pencahayaan semula jadi.

Adakah terdapat cabaran sewaktu proses pengubahsuaian dilakukan?
Proses yang paling mencabar melibatkan pembentukan struktur paip mengikut prosedur ditetapkan bagi sebuah klinik. Berbeza dengan ruang pejabat biasa, saliran paip bagi klinik perlu berada di bahagian belakang supaya air kotoran boleh dialirkan terus ke tempat kumbahan. Rekaan kabinet binaan dalam juga berbeza, di mana perlu menyediakan banyak laci dengan ukuran yang lebih kecil bagi penyimpanan pelbagai jenis ubatan dan perkakasan rawatan. Perencanaan aliran trafik juga perlu dititik beratkan. Satu laluan khas berjaya diwujudkan bagi Dr. Maisarah bermula dari pantri, melalui kaunter pertanyaan seterusnya ke dua bilik rawatan. Selain itu, teknik pencahayaan yang efisien juga perlu dipastikan bagi memberikan pencahayaan secukupnya kepada keseluruhan wajah ruang.


Secara kesimpulannya, gaya dekorasi mampu mempengaruhi suasana sesebuah ruang. Sekiranya anda mahukan sebuah ruang yang selesa, terapkan gaya dekorasi yang bergaya dan praktikal. Ubahkan persepsi umum bahawa ruang klinik bakal mewujudkan pengalaman yang membosankan. Dapatkan khidmat dari Imanpuri Interior & Architecture bagi transformasi ruang yang lebih menarik dan menterjemahkan nilai estetika tersendiri.
* Artikel berkenaan dekorasi Klinik Al-Ansar juga pernah dipaparkan di dalam kolum Hias, Berita Harian pada 28 Oktober 2012.

Friday, February 8, 2013

10 TIP UNGGUL MEMBELI-BELAH DI FLEA MARKET

Ledakan konsep dekorasi yang berasaskan vintaj semakin menarik minat pemilik kediaman tempatan. Kewujudan flea market dan kedai barangan terpakai atau vintaj mempertontonkan koleksi barangan dekor yang dapat merealiasasikan konsep Flea Market Style yang anda mahukan.. Namun begitu, tidak ramai yang tahu apa yang perlu mereka ketahui sebelum membeli-belah di flea market. Kali ini, saya akan berkongsi dengan anda 10  tip dan trik unggul yang akan memudahkan proses membeli-belah anda.


Via link
1.     Perancangan. Walau dalam apa pun perkara yang dilakukan, perancangan merupakan elemen terpenting yang bakal membantu proses carian anda. Ketahui apakah barangan yang anda mahukan. Fikirkan tujuan anda untuk pergi ke flea market. Dengan ini anda telah mendapat gambaran kasar tentang hala tuju anda di flea market nanti.

2.     Kajian. Sebelum anda menuju ke flea market, buat kajian terlebih dahulu terhadap harga pasaran barangan yang anda cari. Harga boleh menjadi sesuatu yang rumit terutamanya barangan antik. Tentukan harga yang anda mahukan sebelum bertanyakan harga dan kemudian tanyakan kepada penjual adakah itu harga terbaik yang mereka tawarkan. Jadilah seorang pengguna yang bijak.

3.     Jadual. Mustahil bagi seorang pemilik kediaman dapat memenuhi impian dekorasinya dengan hanya sekali kunjungan ke flea market. Ini kerana ada sesetengah flea market yang hanya fokus menjual perabot, barangan antik ataupun aksesori. Kekerapan kunjungan adalah kunci kejayaan, terutama apabila anda mencari barangan tertentu. Tidak salah sekiranya anda sahaja datang untuk melihat, ia akan menambah peluang untuk mendapatkan barangan yang anda mahukan.

Via link

4.     Wishlist! Janganlah menjadi seorang pengumpul barangan yang anda tidak tahu mahu digayakan di mana pada kediaman. Kesudahannya kediaman mengalami masalah ruang yang lebih berselerak dan kacau bilau. Pemilik kediaman yang bijak dan berhemah sentiasa tahu apa yang dia mahukan pada kediamannya. Dengan adanya wishlist atau senarai barangan, ia dapat menjadi garis panduan terhadap tujuan anda pergi ke flea market. Senarai ini melibatkan barangan yang sememangnya anda mahukan atau impikan. Buatkan senarai dengan maklumat terperinci, jika ia melibatkan perabot. Anda perlu mengetahui saiz yang diperuntukkan untuk perabot yang bakal diletakkan. Jangan lupa membawa pita pengukur! Dengan kewujudan pelbagai gajet yang memudahkan hidup anda, simpankan gambar ruang yang mahu anda hiaskan supaya apabila terjumpa barangan yang diimpikan anda terus dapat membayangkan di mana ia bakal digayakan.

5.     Masa. Anda yang mengatakan anda patut tiba seawal mungkin untuk mendapatkan barangan yang terbaik. Ia sememangnya benar sekiranya anda pergi mencari di flea market yang popular atau yang kerap dikunjungi oleh mereka yang profesional. Tetapi anda juga yang mengatakan tawaran terbaik boleh diperolehi pada penghujung hari jualan kerana mereka tidak mahu membawa balik kesemua barangan. Kelebihan sekiranya anda datang lebih awal adalah anda dapat meninjai dahulu barangan yang dijual oleh setiap penjual di flea market sebelum jualan berlangsung. Dengan ini, lebih mudah untuk anda mensasarkan tempat yang perlu anda tujui dahulu. Bagi yang datang  lewat, gunakan kelebihan ini untuk menawarkan barangan yang bersaiz dempak. Kebanyakan penjual sedia berunding terhadap barangan sebegini kerana ia susah untuk dibungkuskan semula, juga memerlukan kos pengangkutan yang mahal.

6.     DIY. Sesetengah flea market turut menjual barangan yang mungkin perlu diperbaiki semula seperti kabinet yang patah atau kerusi yang telah koyak fabriknya. Mungkin terlintas di fikiran kita untuk memberikan wajah baru kerana tertarik dengan reka bentuk yang unik dengan melakukan DIY. Meskipun ia adalah idea yang kreatif, terdapat juga situasi di mana akhirnya perabot ini bakal disimpan di dalam stor. Beli perabot yang anda fikirkan berbaloi diberikan wajah baru atau mudah diperbaiki.

7.     Berbelanja besar. Ada ketikanya akan terlintas di fikiran anda persoalan, “Bilakah waktu yang sesuai untuk berbelanja?”.  Terdapat barangan di flea market yang berharga lebih mahal daripada jangkaan anda. Kebiasaannya melibatkan barangan vintaj pereka, edisi khas, barangan peribadi dan juga antik. Sekiranya anda menghadapi situasi sebegini, pertimbangkan untuk memperuntukan wang bagi barangan yang akan disimpan atau digunakan dalam jangka masa panjang. Bak kata pepatah, “Alah membeli, menang memakai”. Lagipun bukan selalu anda berbelanja untuk barang sebegini, mungkin sekali dalam setahun.
Via link
8.     Pakaian yang selesa. Mungkin ada yang memikirkan ia bukanlah perkara penting. Tetapi pakaian dan kasut yang selesa banyak menyumbang kepada keselesaan dan keseronokan anda mencari barang di flea market, terutama di tempat terbuka. Anda perlu banyak berjalan untuk meninjau barangan yang dikehendaki. Janganlah disebabkan keadaan diri yang kurang selesa membuatkan anda membeli barangan dalam keadaan terburu-buru. Hasilnya, apabila tiba di rumah, anda berasa hampa dengan pilihan sendiri.

9.     Bawa wang tunai. Meskipun kita berada di era mesin kad kredit bergerak, namun urusan secara tunai adalah standard dilakukan di flea market. Dengan membawa sejumlah wang ke flea market, ia dapat menentukan bajet anda sekaligus mengelakkan pembaziran.

10.  Berseronok! Berkunjung ke flea market adalah aktiviti yang menyeronokkan. Nikmati masa anda kerana di sinilah anda berpeluang terjumpa dengan barangan yang diimpikan. Jangan lupa untuk beramah mesra. Kebanyakan mereka yang menjual di flea market melakukan demi keseronokan, dan barangan adalah daripada koleksi persendirian. Jika bernasib baik, mungkin mereka akan menghubungi anda dahulu sekiranya terdapat barangan menarik yang anda mahukan.

Via link
Proses membeli-belah di flea market yang berjaya bermakna anda membawa pulang barangan yang anda sukai dan diperlukan! Bukannya akan berlaku pembaziran dengan membeli barangan yang anda rasakan cantik dan menarik tetapi akhirnya tidak tahu di mana sesuai diletakkan setelah tiba di rumah.

Antara lokasi flea market yang popular di Malaysia adalah:

v  Amcorp Mall Flea Market, Kuala Lumpur

v  Pasar Karat Kuala Lumpur (Petaling Street)

v  Pasar Loken, Ipoh

v  Pasar Karat Jalan Hang Lekir, Melaka

v  Lorong Kulit, Pulau Pinang

v  Rengit Parade, Johor

v  Pasar Karat, Batu Pahat

Via link

Selain dari flea market, anda juga boleh mendapatkan barangan vintaj di kedai khusus menjual barangan sebegini ataupun kedai perabot terpakai. Nantikan di entri akan datang, kedai pilihan bagi anda yang ingin merealisasikan dekorasi Flea Market Style.

Thursday, January 31, 2013

Gaya Flea Market, Hot bagi 2013!

Salam dekorasi! Bertemu kembali di dalam entri pertama blog bagi tahun ini. Bagi peminat setia blog ini, terima kasih kerana sentiasa menyokong imanpuri interior & architecture. Tahun 2013, blog ini bakal menyajikan pelbagai projek dekorasi, idea, tip dan info-info terkini mengenai dunia dekorasi tempatan mahupun antarabangsa. Inspirasi ini boleh anda aplikasikan pada kediaman mahupun kehidupan anda. Apabila membicarakan isu dekorasi, ia tidak terhad kepada skop hiasan dalaman dan juga seni bina. Sebenarnya, ia banyak melibatkan gaya hidup kita dan juga persekitaran yang kita diami. Semoga blog ini dapat menjadi sumber rujukan bagi semua pemilik kediaman terutama di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.


Di dalam Impiana isu Januari 2013, imanpuri interior & architecture diberi kesempatan berkongsi serba-sedikit idea tentang penggayaan Flea Market sebagai panduan asas bagi pembaca. Apa yang cuba saya ketengahkan di blog ini adalah lanjutan kepada perbincangan di dalam majalah Impiana. Seni mencipta penggayaan Flea Market pada kediaman boleh dipelajari dengan pelbagai sumber rujukan yang mudah didapati kini, contohnya majalah yang mengkhusus kepada penggayaan ini ‘Flea Market Style’, terdapat juga buku rujukan khas mengenai gaya ini yang boleh anda perolehi di kedai-kedai buku utama. Sama ada ruang anda moden mahupun rustik, usah gusar untuk menggandingkan dengan barangan dekor diperolehi dari flea market. Apa yang perlu dititik beratkan adalah tentang pemilihan secara berhemah. Masalah yang sering berlaku dengan situasi flea market, sesetengah di antara kita gemar membeli satu atau dua barangan secara rambang yang tidak pasti apa yang akan dibuat dengannya atau di mana mahu diletakkan.

 
Gaya Flea Market bukanlah sesuatu yang asing di persada dunia dekorasi antarabangsa. Malahan berkunjung ke flea market telah menjadi aktiviti hujung minggu bagi berjuta penduduk di Amerika dan Eropah. Kebanyakan barangan yang boleh didapati di flea market adalah barangan baru, barangan yang jarang digunakan dan masih berfungsi dengan baik, barangan vintaj, koleksi dan juga antik serta beberapa barangan yang perlu dibaiki semula. Menyoroti Trend Dekorasi 2013, gaya dekorasi Flea Market ini bakal meniti di bibir pemilik kediaman tempatan yang semakin terdedah dengan aliran gaya yang diketengahkan dari luar negara ini. Tambahan pula, dengan wujudnya kedai-kedai perabot yang menjual perabot vintaj dan lama yang berkualiti tinggi serta aksesori-aksesori lama yang mempunyai nilai sentimental tersendiri. Dengan kedudukan ekonomi yang dialami kini, penjimatan dengan membeli barangan gaya Flea Market dapat membantu anda dalam memperuntukkan bajet yang sesuai demi hasil yang lebih mengagumkan.
 
via www.bhg.com
 
Gaya Flea Market adalah tentang pemilihan secara berhati-hati terhadap setiap barangan, disertakan dengan pemahaman yang mendalam terhadap ruang kediaman anda (pelan lantai, pencahayaan, warna) dan juga keperluan anda. Ia merupakan kombinasi antara kreativiti dengan keaslian dan nilai cita rasa tentang apa yang serasi atau tidak digandingkan bersama. Dekorasi gaya Flea Market menawarkan peluang untuk menggabungkan personaliti bersama dekorasi, lama dengan baru, kontemporari dengan klasik di mana menghasilkan gaya yang menarik, mengalu-alukan dan selesa untuk didiami.

via www.bhg.com
 
via www.bhg.com

 
Sekiranya anda memang terbuka dengan idea dekorasi gaya Flea Market, ia adalah tidak mustahil untuk melengkapkan dekorasi kediaman anda keseluruhannya dengan barangan hasil dari carian di flea market. Dari perabot dan perkakasan elektrik hinggalah ke pinggan mangkuk, elemen penstoran, permaidani, lukisan, linen dan juga aksesori.

Hasil seni dinding dari flea market. Via Blog.

Dari sudut warna yang serasi dengan gaya Flea Market ini, nuansa biru dan hijau adalah pilihan warna bagi trend 2013. Seperti kebanyakan perabot dari flea market yang perlu dirias semula, memberikan nafas baru kepada perabot lama dengan palitan cat biru laut bakal menyuntik gaya Flea Market yang lebih segar dan anggun.

Foto oleh Ashley Mills
 
Di dalam paparan blog akan datang, saya akan kongsikan dengan anda beberapa tip yang perlu diketahui sebelum ke jualan flea market dan senarai flea market serta kedai perabot yang mesti dikunjungi.

Monday, July 30, 2012

Fail Dekor : Pesona Pastel

Kelembutan rona pastel seringkali dikaitkan dengan sifat feminin. Namun di dalam dekorasi, tiada limitasi dalam menggayakan rona ini. Pesona ronanya dapat membangkitkan atmosfera ruang menenangkan dan sejuk mata memandang. Mungkin pastel menjadi pilihan anda dalam membuat make-over gaya hias sempena lebaran nanti!