Saturday, March 2, 2013

Dekorasi Wujudkan Atmosfera Selesa

Keselesaan sesebuah ruang bukan sekadar bergantung kepada kelengkapan perabot yang mengisinya. Ia adalah kombinasi sempurna dengan gaya dekor yang menarik, seterusnya mewujudkan sebuah ruang yang lebih selesa. Apatah lagi ruang tersebut merupakan sebuah klinik pergigian. Bagaikan sudah menjadi satu perkara yang mengerikan bagi sesetengah orang apabila membicara perihal klinik pergigian. Kesakitan dan juga ubatan adalah perkara pertama yang dibayangkan di minda.
Gambaran perspektif klinik untuk direalisasikan 
Apakah cara yang terbaik yang boleh diambil oleh pemilik klinik sebegini?
Ya, gaya dekorasi yang menarik dan selesa adalah jawapan yang dapat membantu menyelesaikan senario yang biasanya membebani emosi pesakit. Ilham tata hias dalaman secara tidak langsung mewujudkan atmosfera ruang yang selesa dan mendamaikan jiwa pesakit. Inilah yang diinginkan oleh Dr. Maisarah, pemilik Klinik Al-Ansar, sebuah klinik pergigian yang terletak di Alam Budiman. Imanpuri Interior & Architecture telah merealisasikan gaya ruang yang kelihatan menawan serta menerapkan aspek keselesaan buat pengunjung klinik ini.

Bagaimana dengan pilihan konsep dan warna?
Kontemporari adalah konsep yang dilihat membawa keringkasan kepada wajah ruang, di mana bersesuaian untuk digayakan bagi klinik ini. Selain itu juga, pemilik klinik ini mahukan suasana santai yang boleh dirasakan pengunjung laksana di kediaman sendiri. Satu sudut juga telah diperuntukkan sebagai ruang permainan untuk kanak-kanak. Memilih rangkaian rona hijau tua dan muda sebagai warna dominan, ternyata ia merupakan pilihan tepat bukan sahaja dari sudut dekorasi tetapi juga psikologi. Warna hijau tua secara psikologinya merupakan warna penyembuhan. Ia juga dipercayai dapat membantu badan menjadi lebih tegap, menyeimbangkan equilibrium dan menggalakkan kestabilan. Malahan, rona ini juga dapat menggalakkan kesejahteraan emosi. Sememangnya hijau pilihan warna ideal bagi klinik pergigian yang seringkali dilabelkan sebagai tempat menakutkan terutamanya bagi kanak-kanak, kadangkala bagi yang dewasa juga.
Apakah aspek pengubahsuaian yang telah dilakukan?
Menyentuh aspek tata hiasan dalaman, ia telah melibatkan proses pengubahsuaian besar-besaran. Oleh kerana ruang asalnya seperti ruang pejabat biasa, melalui proses pengubahsuaian dapat diperuntukkan dua bilik rawatan termasuk sebuah bilik x-ray, bilik pensterilan, pejabat mini, stor janitor, pantri berkembar surau mini dan bilik air. Selain itu, pengubahsuaian yang dilakukan juga perlu memenuhi beberapa syarat dan peraturan wajib  diikuti seperti kelebaran pintu yang minima dan aspek pencahayaan semula jadi.

Adakah terdapat cabaran sewaktu proses pengubahsuaian dilakukan?
Proses yang paling mencabar melibatkan pembentukan struktur paip mengikut prosedur ditetapkan bagi sebuah klinik. Berbeza dengan ruang pejabat biasa, saliran paip bagi klinik perlu berada di bahagian belakang supaya air kotoran boleh dialirkan terus ke tempat kumbahan. Rekaan kabinet binaan dalam juga berbeza, di mana perlu menyediakan banyak laci dengan ukuran yang lebih kecil bagi penyimpanan pelbagai jenis ubatan dan perkakasan rawatan. Perencanaan aliran trafik juga perlu dititik beratkan. Satu laluan khas berjaya diwujudkan bagi Dr. Maisarah bermula dari pantri, melalui kaunter pertanyaan seterusnya ke dua bilik rawatan. Selain itu, teknik pencahayaan yang efisien juga perlu dipastikan bagi memberikan pencahayaan secukupnya kepada keseluruhan wajah ruang.


Secara kesimpulannya, gaya dekorasi mampu mempengaruhi suasana sesebuah ruang. Sekiranya anda mahukan sebuah ruang yang selesa, terapkan gaya dekorasi yang bergaya dan praktikal. Ubahkan persepsi umum bahawa ruang klinik bakal mewujudkan pengalaman yang membosankan. Dapatkan khidmat dari Imanpuri Interior & Architecture bagi transformasi ruang yang lebih menarik dan menterjemahkan nilai estetika tersendiri.
* Artikel berkenaan dekorasi Klinik Al-Ansar juga pernah dipaparkan di dalam kolum Hias, Berita Harian pada 28 Oktober 2012.