Wednesday, March 20, 2013

DIMENSI WARNA - BAHAGIAN 2

Salam dekorasi,

Kesinambungan daripada artikel yang lepas, entri kali ini adalah sambungan bagi Dimensi Warna-Bahagian 2. Selain dimensi warna putih dan gelap, dimensi warna yang seterusnya adalah warna natural dan terang.

NATURAL

Tenang dan mendamaikan, palet warna natural serasi dengan aliran trend yang banyak dipertontonkan aplikasinya pada unit kabinet, perabot, aksesori bilik air selain latar cat dinding yang biasa digayakan. Malahan, pilihan tema natural adalah lebih praktikal kerana mengilhamkan penggayaan yang lebih harmoni.


Via blog
Via web

ELAKKAN menggayakan warna natural yang gelap sekiranya anda menggabungkan di antara dua fungsi ruang, seperti ruang dapur dengan ruang tamu atau ruang bilik tidur dengan bilik air. Gunakan warna yang lebih terang kerana akan memudahkan padanan dengan perabot, fabrik dan kemasan lantai. Anda boleh menggunakan warna gelap bagi memberikan penyataan yang lebih dramatik.



Via web

Tip dekor:

·  Jangan jadikan suasana terlampau bosan. Meskipun ia pilihan warna yang selamat, anda mesti menonjolkan wajah ruang dapur dan bilik air yang lebih menarik, cantik serta memberi refleksi kepada personaliti anda.

·  Padankan rona natural dengan pilihan warna senada yang lebih perlahan bagi skema penggayaan yang lebih harmoni.
 
Via web
 
·  Pilihan material seperti venir atau batu semula jadi seperti limestone dapat memberikan impak natural yang hebat dengan perincian tekstur dan motifnya.
 

Via web


TERANG

Serakan warna memberikan anda pilihan gaya lebih spesifik, selain dapat membantu menceriakan lagi suasana ruang dapur atau bilik air. Warna dapat memberikan inspirasi dan dorongan bagi anda mencuba memasak di ruang dapur. Warna-warna yang cerah sesuai dikombinasikan bersama palet natural atau hitam atau putih. Tidak perlu menggunakan ia terlalu banyak, cukup sekadar memberikan titik tumpu kepada ruang yang digayakan.


Via web
Via blog
 
ELAKKAN penggunaan warna yang terlampau banyak. Anda tidak mahu ruang dapur dan bilik air kelihatan seperti taman tema kanak-kanak. Tetapkan untuk gunakan satu atau dua elemen warna bagi menyerlahkan skema ruang yang sekata.

Via web
 
Tip dekor:

·  Splashback merupakan elemen yang terbaik untuk anda menonjolkan pilihan warna di ruang dapur ataupun bilik air. Bagi ruang dapur, ia akan menyerlahkan personaliti dan keanggunan wajah ruang manakala bagi bilik air penggunaan splashback memudahkan permukaan di ruang pancuran mandi dibersihkan.

Via web

·  Gunakan warna untuk menonjolkan perincian terbaik bagi sesebuah ruang. Anda boleh mempertimbangkan untuk menambahkan percikan warna pada ruang dinding membelakangi kaunter basin di bilik air.
 
Via blog
 
·  Kehadiran pelbagai pilihan warna bagi kabinet dapur juga memberikan dimensi warna yang lebih hebat kepada ruang. Namun perlu diingatkan untuk meminimakan kombinasi warna bagi unit kabinet dapur anda bagi mengelakkan pemandangan ruang yang berserabut.
 

Via web


Selamat bereksperimentasi dengan dimensi warna  dalam penggayaan ruang dapur dan bilik air kediaman!




Saturday, March 9, 2013

DIMENSI WARNA - BAHAGIAN 1

Gayakan ruang dapur dan bilik air anda dengan cara mudah untuk mendapatkan keanggunan melalui dimensi warna.

PUTIH

Ruang dapur dan bilik air bertemakan warna putih bukan sesuatu yang baru. Malahan biasan warnanya dapat memberikan kesan yang lebih hebat dalam mempengaruhi kecerahan ruang. Bagi ruang dapur besar yang menerima banyak pencahayaan semula jadi pula, penggayaan warna putih dapat membangkitkan keselesaan ketika dipandang. Manakala bagi bilik air pula, warna putih menambahkan elemen pencahayaan kepada ruang selain menggambarkan kebersihan. Meskipun agak sukar untuk diselenggara, namun anda boleh menambahkan sedikit tekstur dan tona melalui batuan semula jadi dan kabinet penstoran bagi mengelakkan keadaan ruang kelihatan begitu kotor keseluruhannya.



Via web
 
ELAKKAN  ruang kelihatan terlampau klinikal. Gunakan tekstur natural dan variasikan di antara kemasan pusam dan berkilat bagi mencipta atmosfera ruang yang lebih tenang dan mengalu-alukan.

Tip dekor:

·        Ciptakan skema gaya ‘country’. Serlahkan perincian dan juga tekstur seperti aplikasi panel dinding tounge-and-groove, unit kabinet dan jubin.
 

Via web
 
·        Skema warna all-white memberikan anda lebih peluang untuk bermain dengan perincian yang lebih halus. Tidak semestinya warna putih hanya terhad kepada pilihan warnanya yang polos sahaja. Pilihan tona yang berbeza dapat membawakan efek ruang yang lebih menarik dan sofistikated, bukannya serabut.

·        Gunakan elemen natural bagi mencipta daya tarikan kepada ruang bilik air berskema putih. Anda boleh menggayakan bahagian kaunter dari material venir, di mana akan memberi impak kasual elegan.


Via web

·        Permukaan lantai batu akan menyerlah bilik air ataupun pelbagaikan penggunaan jubin dengan efek atau tekstur berbeza bagi mengurangkan kesan kotoran berlaku.


GELAP

Elegan dan dramatik, itulah yang dapat diungkapkan bagi bilik air yang dilatari jubin berskema gelap dari ruang lantai ke siling yang menciptakan mood yang lebih intim. Apatah lagi digandingkan dengan pencahayaan yang sepadan bagi menimbulkan suasana yang diingini. Teori yang sama boleh diguna pakai bagi mewujudkan ruang dapur hitam yang dramatik dengan plan ruang terbuka.


Via web
ELAKKAN skema warna gelap sekiranya ruang dapur atau bilik air anda kurang mendapat pencahayaan semula jadi. Ini kerana ruang praktikal seperti ini, anda memerlukan fungsi pencahayaan yang secukupnya bagi menerbitkan impak ruang lebih cerah.

Via web

Tip dekor:

·        Kombinasikan dua kemasan yang berbeza di dalam ruang yang sama seperti pusam dengan metalik.

·        Lembutkan kontras ruang. Ruang dapur berskema hitam akan menyerlahkan kombinasi warna yang klasik dengan penggabungan rona kelabu yang hangat digayakan kini.

·        Selain penggayaan dinding yang gelap, anda boleh juga menukarkan pintu kabinet dapur dengan pelbagai jenis material yang boleh didapatkan di pasaran.

Via web

·        Pastikan aplikasi material yang betul. Jubin natural berona gelap pada ruang dinding pancuran mandi adalah pilihan yang kurang tepat. Ia akan memberikan reaksi terhadap bahan kimia yang terdapat di dalam sabun dan syampu, mengakibatkan warnanya menjadi kusam. Hanya gunakan warna hitam di ruang kering atau gunakan pilihan warna kelabu pada keseluruhan warna dinding.
 
Via web
 
Nantikan artikel Dimensi Warna-Bahagian 2 di entri akan datang. Salam dekorasi!

Saturday, March 2, 2013

Dekorasi Wujudkan Atmosfera Selesa

Keselesaan sesebuah ruang bukan sekadar bergantung kepada kelengkapan perabot yang mengisinya. Ia adalah kombinasi sempurna dengan gaya dekor yang menarik, seterusnya mewujudkan sebuah ruang yang lebih selesa. Apatah lagi ruang tersebut merupakan sebuah klinik pergigian. Bagaikan sudah menjadi satu perkara yang mengerikan bagi sesetengah orang apabila membicara perihal klinik pergigian. Kesakitan dan juga ubatan adalah perkara pertama yang dibayangkan di minda.
Gambaran perspektif klinik untuk direalisasikan 
Apakah cara yang terbaik yang boleh diambil oleh pemilik klinik sebegini?
Ya, gaya dekorasi yang menarik dan selesa adalah jawapan yang dapat membantu menyelesaikan senario yang biasanya membebani emosi pesakit. Ilham tata hias dalaman secara tidak langsung mewujudkan atmosfera ruang yang selesa dan mendamaikan jiwa pesakit. Inilah yang diinginkan oleh Dr. Maisarah, pemilik Klinik Al-Ansar, sebuah klinik pergigian yang terletak di Alam Budiman. Imanpuri Interior & Architecture telah merealisasikan gaya ruang yang kelihatan menawan serta menerapkan aspek keselesaan buat pengunjung klinik ini.

Bagaimana dengan pilihan konsep dan warna?
Kontemporari adalah konsep yang dilihat membawa keringkasan kepada wajah ruang, di mana bersesuaian untuk digayakan bagi klinik ini. Selain itu juga, pemilik klinik ini mahukan suasana santai yang boleh dirasakan pengunjung laksana di kediaman sendiri. Satu sudut juga telah diperuntukkan sebagai ruang permainan untuk kanak-kanak. Memilih rangkaian rona hijau tua dan muda sebagai warna dominan, ternyata ia merupakan pilihan tepat bukan sahaja dari sudut dekorasi tetapi juga psikologi. Warna hijau tua secara psikologinya merupakan warna penyembuhan. Ia juga dipercayai dapat membantu badan menjadi lebih tegap, menyeimbangkan equilibrium dan menggalakkan kestabilan. Malahan, rona ini juga dapat menggalakkan kesejahteraan emosi. Sememangnya hijau pilihan warna ideal bagi klinik pergigian yang seringkali dilabelkan sebagai tempat menakutkan terutamanya bagi kanak-kanak, kadangkala bagi yang dewasa juga.
Apakah aspek pengubahsuaian yang telah dilakukan?
Menyentuh aspek tata hiasan dalaman, ia telah melibatkan proses pengubahsuaian besar-besaran. Oleh kerana ruang asalnya seperti ruang pejabat biasa, melalui proses pengubahsuaian dapat diperuntukkan dua bilik rawatan termasuk sebuah bilik x-ray, bilik pensterilan, pejabat mini, stor janitor, pantri berkembar surau mini dan bilik air. Selain itu, pengubahsuaian yang dilakukan juga perlu memenuhi beberapa syarat dan peraturan wajib  diikuti seperti kelebaran pintu yang minima dan aspek pencahayaan semula jadi.

Adakah terdapat cabaran sewaktu proses pengubahsuaian dilakukan?
Proses yang paling mencabar melibatkan pembentukan struktur paip mengikut prosedur ditetapkan bagi sebuah klinik. Berbeza dengan ruang pejabat biasa, saliran paip bagi klinik perlu berada di bahagian belakang supaya air kotoran boleh dialirkan terus ke tempat kumbahan. Rekaan kabinet binaan dalam juga berbeza, di mana perlu menyediakan banyak laci dengan ukuran yang lebih kecil bagi penyimpanan pelbagai jenis ubatan dan perkakasan rawatan. Perencanaan aliran trafik juga perlu dititik beratkan. Satu laluan khas berjaya diwujudkan bagi Dr. Maisarah bermula dari pantri, melalui kaunter pertanyaan seterusnya ke dua bilik rawatan. Selain itu, teknik pencahayaan yang efisien juga perlu dipastikan bagi memberikan pencahayaan secukupnya kepada keseluruhan wajah ruang.


Secara kesimpulannya, gaya dekorasi mampu mempengaruhi suasana sesebuah ruang. Sekiranya anda mahukan sebuah ruang yang selesa, terapkan gaya dekorasi yang bergaya dan praktikal. Ubahkan persepsi umum bahawa ruang klinik bakal mewujudkan pengalaman yang membosankan. Dapatkan khidmat dari Imanpuri Interior & Architecture bagi transformasi ruang yang lebih menarik dan menterjemahkan nilai estetika tersendiri.
* Artikel berkenaan dekorasi Klinik Al-Ansar juga pernah dipaparkan di dalam kolum Hias, Berita Harian pada 28 Oktober 2012.