Monday, October 21, 2013

PALET ; BAHAN BUANGAN BERNILAI




Jika dahulu, apabila mendengarkan sahaja nama palet sudah semestinya terbayangkan fungsinya sekadar platform yang digunakan untuk mengangkut barang. Namun kini, fungsi palet telah divariasikan dengan kreatifnya terutama dalam idea dekorasi kediaman. Malah ia telah dikormersialkan secara meluaskannya di seluruh dunia.

Antara pereka pelopor bagi projek menggunakan palet ini adalah Studiomama yang dimiliki oleh Nina Tolstrup (klik di sini untuk maklumat lanjut) yang telah memulakan ‘The Pallet Project’ pada tahun 2008. Ekoran dari projek ini, ia telah mempopularkan penggunaan palet di dalam projek DIY yang mempelbagaikan reka bentuk palet sebagai unit perabot dan hiasan kediaman.

The Pallet Project oleh Studiomama. Via web.

Kebiasaannya palet ini boleh didapati di kilang, sama ada secara percuma ataupun perlu dibeli. Terdapat juga pembekal yang secara langsung menjual palet ini kepada pengguna akhir secara borong. Harga palet bergantung kepada saiz, dalam anggaran RM12 hingga ke RM20 satu palet. Penggunaan palet sebagai material perabot DIY anda bukan sahaja menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri malahan merupakan pilihan kos efektif.

Berikut dipaparkan beberapa idea DIY palet di dalam dekorasi kediaman yang boleh diaplikasikan pada segenap ruang:

1. Palet sebagai rak pamer bingkai gambar dan aksesori hiasan.
 
Via web
2. Penggunaan palet di ruang tamu divariasikan sebagai meja kopi beroda yang mudah dialihkan dan latar bagi dinding tumpu yang berupa bingkai gambar.

Via web
3. Dengan teknik upcycling, palet telah ditransformasikan menjadi lampu candelier yang lebih unik dan rustik.
 
Via web
4. Jika ingin menggunakan palet di bilik tidur, ia merupakan pilihan ideal sebagai material dasar katil platform.

Via web
5. Palet juga boleh dijadikan sebagai meja makan yang memberikan impak ruang yang lebih santai dan kasual.

Via web
6. Mahukan binaan pulau di dapur dengan kos yang lebih murah? Palet adalah jawapan yang tepat, malah menonjolkan keunikan kepada gaya dapur kediaman.

Via web
Terdapat pelbagai lagi idea kreatif penggunaan palet yang boleh anda perolehi di internet. Apa yang anda perlukan sekarang adalah palet, peralatan, kreativiti dan sedikit kemahiran. Selamat mencuba. Jangan lupa untuk kongsikan projek anda di facebook imanpuri!

Saturday, August 3, 2013

TIP EKSPRES RAYA BERSAMA ANIS AMIR

Apabila menjelang Aildilfitri, selain sibuk membuat persiapan baju dan kuih Raya sudah pastinya  kediaman juga dikemas dan ditata rias sempurna. Ruang kediaman yang cantik dan menarik akan menambahkan lagi keceriaan suasana Aidilfitri. Ada pemilik yang akan membeli langsir atau membuat kemasan upholsteri baru sempena meraikan hari yang mulia ini. Namun bagi mereka yang mahu berjimat, anda  masih boleh menampilkan keserian kepada dekorasi kediaman anda. Sempena Aidilfitri tahun ini, saya akan kongsikan Tip Ekspres Dekor  5 Hari Menjelang Aidilfitri. Ikuti  tips berguna ini,agar wajah kediaman terlihat lebih anggun kepada tetamu yang datang berkunjung. 



5 Hari Menjelang Aidilfitri
Ini adalah hari yang terbaik untuk anda melakukan kerja-kerja pembersihan seperti membersihkan sawang, mengelap cermin, mengemop lantai serta membasuh/menukar langsir. Usah gusar andai tahun ini anda tidak menukar langsir baru, terdapat cara alternatif yang dapat memberikan wajah kediaman anda kelihatan lebih segar terutamanya ruang tamu. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah dengan mengubah posisi reka letak perabot anda. Tidak salah mencuba gaya asymmetrical dalam susun atur perabot anda. Pasti ruang tamu kelihatan menarik dengan dekor yang tersendiri. Namun jangan dilupa aspek aliran trafik agar tetamu sentiasa berasa selesa ketika menjamu selera.


4 Hari Menjelang Aidilfitri
Tahukah anda mengalihkan permaidani mampu menimbulkan mood berbeza kepada sesebuah ruang? Ubahkan mood atau atmosfera ruang dengan mengubah kedudukan permaidani pada setiap ruang. Contohnya, anda boleh meletakkan permaidani yang dahulunya digunakan di ruang menonton dan dialihkan ke ruang tamu. Ia bakal mewujudkan kesan yang berbeza, malah merupakan cara mudah untuk memberikan sesebuah ruang wajah yang baru.




3 Hari Menjelang Aidilfitri
Nampaknya kesemua elemen penting dekorasi sudah hampir terlaksana seperti mengubah susun atur ruang dan posisi permaidani ruang. Kini beralih kepada elemen penambah seri kepada gaya dekor ruang. Andai anda tidak berkesempatan untuk menukarkan upholsteri, membeli sarung kusyen baru adalah cara terbaik untuk menaikkan seri pada sofa anda terutamanya di ruang tamu. Ruang tamu merupakan ruang penting yang bakal menerima kunjungan tetamu yang datang. Dengan aturan sarung kusyen yang menarik dari pilihan warna-warna kontras daripada fabrik sofa atau fabrik bermotif akan memberikan impak ruang yang lebih anggun.

2 Hari MenjelangAidilfitri
Kesibukan menyambut lebaran semakin terasa dan sudah semestinya anda semakin sibuk membuat pelbagai persiapan lain selain dekorasi. Inilah masa terbaik buat anda untuk memberi perhatian kepada perincian-perincian kecil dekorasi ruang. Melalui perincian yang kecil inilah yang akan menghidupkan lagi suasana Aidilfitri anda. Antara aksesorinya adalah balang atau bekas kuih Raya yang menarik, pasu hiasan serta aksesori hiasan lain yang bertepatan dengan konsep ruang anda. Pastikan ia teratur rapi di meja kopi mahupun meja sisi.

1 Hari Menjelang Aidilfitri
Hari terakhir untuk memberikan impak menarik kepada wajah kediaman sebelum tetamu datang berkunjung di Aidilfitri. Berikan wajah ruang malar segar dengan sentuhan bungaan segar. Letakkan di ruang masuk, ruang tamu dan juga ruang makan. Anda pasti tidak percaya dengan perubahan yang dibawakan oleh bungaan segar ini.

Semoga kediaman anda bertambah seri di Aidilfitri tahun ini. Dari imanpuri interior architecture & interior, Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan. Jadikan Aidilfitri lebih bermakna dengan gaya dekor ruang yang menawan.


Wednesday, July 31, 2013

Gaya Pejabat Minimal dan Moden


Perancangan ruang merupakan perkara pokok dalam reka bentuk dalaman pejabat setelah menentukan konsep keseluruhan reka bentuk. IES Energy Holdings Sdn Bhd yang terletak di bangunan PJ Exchange (PJX) berubah wajah setelah melalui proses pengubahsuaian hampir menyeluruh terhadap struktur reka bentuk dalamannya. Kini, ruang pejabat ini menampilkan imej yang lebih meyakinkan dengan ilham lebih minimal dan kontemporari hasil kerja imanpuri interior & architecture



Sebaik melangkah ke dalam ruang pejabat ini, reka bentuk moden dan hi-tec menjadi pilihan untuk menggambarkan kepekaan pihak syarikat terhadap peredaran masa. Gandingan material logam dan kaca digunakan sebagai mewakili unsur seni bina moden. Penggunaan warna dikawal dengan hanya pemilihan warna putih, perak, coklat dan biru. Pengaplikasian warna dapat dilihat pada perabot, warna dinding, kemasan lantai dan partition. Dari segi rekaan, perabot serta kemasan lain yang dipilih juga menunjukkan rekaan bergaris lurus dan ringkas.


“Setiap ruang mendapat sentuhan dan mempamerkan gaya tersendiri mengikut fungsi dan aktiviti yang berlaku di dalam ruang pejabat.”


“Perabot moden serta kemasan daripada kulit menampakkan sentuhan yang elegan kepada beberapa ruang di pejabat ini.”


Bagi anda yang ingin mendapatkan khidmat pereka bentuk dalaman bagi menampilkan impak yang lebih menarik kepada ruang pejabat anda, bolehlah emelkan pertanyaan ke: imanpuri@yahoo.com

  

Nantikan tips ekspres menjelang Aidilfitri dalam entri blog yang akan datang. Salam Ramadan! 

Friday, June 28, 2013

Gaya Kasual untuk Kediaman Selesa

Mungkin tidak kedengaran sebagai gaya yang popular sebagai elemen dekorasi, namun ramai yang tidak menyedari bahawa gaya Kasual adalah tema pilihan bagi menzahirkan sebuah kediaman yang selesa.

Gaya kasual adalah hasil kombinasi mudah antara perabot, pilihan warna-warna yang mendamaikan, perincian permukaan yang mudah diselenggara serta fabrik yang mudah dibersihkan. Dalam erti kata lain, kecenderungan gaya ini adalah memilih elemen-elemen dekorasi yang selesa untuk kediaman, tidak keterlaluan disuai-padan serta kelihatan sederhana namun masih praktikal sebagai ruang yang didiami sehari-hari.

Via link

Warna-warna yang menyenangkan
Pemililihan palet warna bukan sekadar merangkumi dinding, upholsteri dan lantai, malahan juga aksesori. Pilih warna yang dapat menarik perhatian dan memberi kesan kepada mood anda. Pastikan warna yang dipilih adalah tepat kerana ia bakal memberikan tenaga positif kepada atmosfera ruang. Begitu juga kombinasi warna-warna terang perlu dikendalikan secara berhari-hati agar tidak menyakitkan pandangan.


Via link
Permukaan yang mudah diselenggara
Kita bersentuhan dengan permukaan setiap hari, oleh itu pilih permukaan lantai, permukaan kaunter serta splashbacks yang bukan sahaja menarik tetapi juga tahan lasak. Malahan sesetengah permukaan yang akan mendominasi sesetengah ruang dan perlu diberi sentuhan elemen dekorasi, maka anda juga perlu memikirkan aspek warna dan juga perincian kemasannya.

Gambar dibawah: Jubin kecil berona hitam kelihatan ranggi dan digunakan bagi memberikan definasi warna kepada ruang dapur kediaman selain menyamarkan percikan kotoran sewaktu memasak.
Via link

Via link
Fabrik yang mudah dijaga
Aplikasi fabrik di ruang kediaman adalah satu kemestian yang tidak dapat dielakkan. Cari tekstil yang kelihatan ringkas bagi penggunaan harian namun memberikan impak dekoratif yang maksimum. Kombinasikan tekstur fabrik dari jenis kedutan sederhana, licin, fabrik berat, jarang mahupun fabrik mewah asalkan ia merupakan upholsteri yang praktikal digayakan.


Via link
Pencahayaan dramatik
Elemen pencahayaan yang dirancang sempurna menghasilkan fungsian yang dapat menyerlahkan perincian yang menarik dan meminimakan keadaan ruang yang cacat. Ruang akan kelihatan lebih mempesona, menerbitkan atmosfera yang diinginkan dan mempunyai iluminasi yang tepat pada ruang yang memerlukan apabila pencahayaan dibentuk dengan sempurna. Gandingkan pelbagai elemen pencahayaan bagi memberikan fokus kepada perincian yang menarik dan menambah kesan dramatik kepada ruang.

Via link
 Bayangkan ruang kediaman yang didekor rapi dengan suasana yang mendamaikan, ruang berfungsian bercirikan keselesaan, tidak berserabut dan mudah diselenggara malah cantik dipandang. Itulah ruang kediaman yang kasual.

Friday, May 24, 2013

SFB CAFE - KLIA

Menerima sentuhan pereka bentuk dalaman daripada imanpuri interior & architecture, SFB Café merupakan salah satu tarikan pencinta kulinari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pereka telah mencipta ruang kasual demi menonjolkan elemen keselesaan, manakala ruang interior diinspirasikan oleh elemen-elemen moden kontemporari seperti pemilihan perabot, perincian seni bina, aplikasi material kayu dan kaca serta kemasan kayu venir yang secara langsung memberikan impak visual yang berbeza.


TARIKAN PERTAMA
Mewujudkan tarikan utama kepada pelanggan melalui pendekatan dekorasi telah menjadi aliran trend masa kini dalam tata hias dalaman ruang kafe atau restoran. Gaya dekor di bahagian pintu masuk dapat mencipta tarikan kepada pelanggan yang mahu menjamu selera. Imanpuri interior & architecture menggunakan pendekatan seni bina melalui pemasangan panel kayu vertikal dan kekotak di mana secara tidak langsung memberi gambaran unsur-unsur garisan yang digayakan pada keseluruhan ruang kafe ini.

PERINCIAN PEREKA
Dimensi garisan kelihatan lebih menyerlah di sesetengah bahagian ruang yang dipasang venir sebagai kemasan dinding. Malahan jika diperhatikan pada setiap bahagian ruang makan di kafe ini, perincian kemasan siling mengenengahkan karakter ruang yang berbeza namun kekal harmoni dengan keseluruhan konsep ruang.

Begitu juga dengan kepelbagaian kemasan lantai yang membezakan setiap bahagian menjamu selera di kafe ini, memecah kebosanan ruang yang hanya didominasi dengan aplikasi jubin biasa. Pemilihan perabot juga disesuaikan mengikut aturan ruangnya. Potongan reka bentuk yang bersifat kontemporari menjadi pilihan dan dipadankan dengan aksesori pencahayaan yang menarik.

Kepentingan untuk menzahirkan ruang kafe yang selesa diperlihatkan melalui susun atur perabot dan kelancaran aliran trafik yang memastikan pelanggan yang menjamu selera berasa senang ketika menikmati hidangan mereka. Perencanaan ruang yang bijak dari segi gaya dekorasi, pemilihan perabot serta penonjolan karakter yang membentuk identiti ruang dapat menjadikan sesebuah ruang kafe atau restoran sentiasa menjadi pilihan pelanggan masa kini. Dapatkan khidmat pereka bentuk dalaman di imanpuri interior & architecture sekiranya anda mahukan gaya dekor ruang yang lebih menarik dan anggun.

Tuesday, April 30, 2013

DILEMA DEKORASI: RUANG LALUAN MASUK YANG TERLALU PANJANG

DILEMA: Saya baru membeli sebuah kediaman jenis apartmen dan sedang melakukan proses pengubah suaian. Apabila melihat ke ruang laluan masuk yang agak panjang dan sempit, saya terus buntu bagaimana untuk mendekorasi ruang ini meskipun telah meletakkan beberapa buah lukisan di dinding. Diharap pihak imanpuri interior & architecture dapat membantu menyelesaikan dilema saya ini.
SOLUSI: Jangan biarkan ruang ini menyekat gaya dekor bagi ruang kediaman anda. Biarpun ruang laluan masuk merupakan ruang transisi, ia juga memainkan peranan penting dalam mencipta tarikan utama kepada wajah keseluruhan kediaman. Sememangnya bukan 24/7 kita meluangkan masa berada di ruang ini, namun secara estetiknya ia wajar didekorasi dengan penggayaan yang sempurna. Berikut merupakan empat solusi yang boleh anda lakukan dalam proses pengubah suaian ruang laluan masuk kediaman anda:

Via link

1.     Catkan dinding dengan rona kelabu gelap. Cat adalah cara termudah dan termurah bagi mengubah wajah apa sahaja ruang. Malahan, dengan warna juga atmosfera dan mood sesebuah ruang dapat dibangkitkan. Bagi memberikan ruang laluan ini kelihatan lebih dramatik, catkan dinding dengan rona kelabu gelap, dan mungkin juga boleh diaplikasikan di bahagian siling! Perincian kemasan kayu berona putih akan memberikan kontras kepada ruang seterusnya menyeimbangkan keseluruhan wajah ruang.
 
Via link


2.     Warnakan pintu dan bahagian kerangka dengan rona hitam. Ia dapat menyerlahkan perincian seni bina ruang. Malahan ia secara tidak langsung menyembunyikan keadaan ruang laluan yang terlalu panjang dan memberikan impak ruang yang lebih elegan.


Via link


3.    Cat berjalur. Catkan dinding secara berjalur lebar melintang rona hitam dan putih. Ia mungkin kedengaran agak keterlaluan, tetapi anda akan kagum dengan hasilnya.


Via link


4.     Gunakan kertas dinding. Kertas dinding adalah cara terbaik untuk menerbitkan ilusi ruang yang berlainan dan mengubah persepsi mengenai sesebuah ruang. Tiada had dalam penggunaan warna mahupun tema yang ingin digayakan. Apa sahaja motif boleh dipilih asalkan bertepatan dengan wajah keseluruhan kediaman. Jika tidak tahu membuat pilihan, tanyakan kepada pakar bagi membantu anda memilih kertas dinding yang bertepatan dengan gaya dekorasi kediaman.

Sekiranya mempunyai dilema dekorasi yang ingin dikongsikan bersama, ajukan soalan di laman facebook imanpuri atau emailkan ke imanpuri@yahoo.com.

Wednesday, March 20, 2013

DIMENSI WARNA - BAHAGIAN 2

Salam dekorasi,

Kesinambungan daripada artikel yang lepas, entri kali ini adalah sambungan bagi Dimensi Warna-Bahagian 2. Selain dimensi warna putih dan gelap, dimensi warna yang seterusnya adalah warna natural dan terang.

NATURAL

Tenang dan mendamaikan, palet warna natural serasi dengan aliran trend yang banyak dipertontonkan aplikasinya pada unit kabinet, perabot, aksesori bilik air selain latar cat dinding yang biasa digayakan. Malahan, pilihan tema natural adalah lebih praktikal kerana mengilhamkan penggayaan yang lebih harmoni.


Via blog
Via web

ELAKKAN menggayakan warna natural yang gelap sekiranya anda menggabungkan di antara dua fungsi ruang, seperti ruang dapur dengan ruang tamu atau ruang bilik tidur dengan bilik air. Gunakan warna yang lebih terang kerana akan memudahkan padanan dengan perabot, fabrik dan kemasan lantai. Anda boleh menggunakan warna gelap bagi memberikan penyataan yang lebih dramatik.



Via web

Tip dekor:

·  Jangan jadikan suasana terlampau bosan. Meskipun ia pilihan warna yang selamat, anda mesti menonjolkan wajah ruang dapur dan bilik air yang lebih menarik, cantik serta memberi refleksi kepada personaliti anda.

·  Padankan rona natural dengan pilihan warna senada yang lebih perlahan bagi skema penggayaan yang lebih harmoni.
 
Via web
 
·  Pilihan material seperti venir atau batu semula jadi seperti limestone dapat memberikan impak natural yang hebat dengan perincian tekstur dan motifnya.
 

Via web


TERANG

Serakan warna memberikan anda pilihan gaya lebih spesifik, selain dapat membantu menceriakan lagi suasana ruang dapur atau bilik air. Warna dapat memberikan inspirasi dan dorongan bagi anda mencuba memasak di ruang dapur. Warna-warna yang cerah sesuai dikombinasikan bersama palet natural atau hitam atau putih. Tidak perlu menggunakan ia terlalu banyak, cukup sekadar memberikan titik tumpu kepada ruang yang digayakan.


Via web
Via blog
 
ELAKKAN penggunaan warna yang terlampau banyak. Anda tidak mahu ruang dapur dan bilik air kelihatan seperti taman tema kanak-kanak. Tetapkan untuk gunakan satu atau dua elemen warna bagi menyerlahkan skema ruang yang sekata.

Via web
 
Tip dekor:

·  Splashback merupakan elemen yang terbaik untuk anda menonjolkan pilihan warna di ruang dapur ataupun bilik air. Bagi ruang dapur, ia akan menyerlahkan personaliti dan keanggunan wajah ruang manakala bagi bilik air penggunaan splashback memudahkan permukaan di ruang pancuran mandi dibersihkan.

Via web

·  Gunakan warna untuk menonjolkan perincian terbaik bagi sesebuah ruang. Anda boleh mempertimbangkan untuk menambahkan percikan warna pada ruang dinding membelakangi kaunter basin di bilik air.
 
Via blog
 
·  Kehadiran pelbagai pilihan warna bagi kabinet dapur juga memberikan dimensi warna yang lebih hebat kepada ruang. Namun perlu diingatkan untuk meminimakan kombinasi warna bagi unit kabinet dapur anda bagi mengelakkan pemandangan ruang yang berserabut.
 

Via web


Selamat bereksperimentasi dengan dimensi warna  dalam penggayaan ruang dapur dan bilik air kediaman!