Saturday, August 3, 2013

TIP EKSPRES RAYA BERSAMA ANIS AMIR

Apabila menjelang Aildilfitri, selain sibuk membuat persiapan baju dan kuih Raya sudah pastinya  kediaman juga dikemas dan ditata rias sempurna. Ruang kediaman yang cantik dan menarik akan menambahkan lagi keceriaan suasana Aidilfitri. Ada pemilik yang akan membeli langsir atau membuat kemasan upholsteri baru sempena meraikan hari yang mulia ini. Namun bagi mereka yang mahu berjimat, anda  masih boleh menampilkan keserian kepada dekorasi kediaman anda. Sempena Aidilfitri tahun ini, saya akan kongsikan Tip Ekspres Dekor  5 Hari Menjelang Aidilfitri. Ikuti  tips berguna ini,agar wajah kediaman terlihat lebih anggun kepada tetamu yang datang berkunjung. 



5 Hari Menjelang Aidilfitri
Ini adalah hari yang terbaik untuk anda melakukan kerja-kerja pembersihan seperti membersihkan sawang, mengelap cermin, mengemop lantai serta membasuh/menukar langsir. Usah gusar andai tahun ini anda tidak menukar langsir baru, terdapat cara alternatif yang dapat memberikan wajah kediaman anda kelihatan lebih segar terutamanya ruang tamu. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah dengan mengubah posisi reka letak perabot anda. Tidak salah mencuba gaya asymmetrical dalam susun atur perabot anda. Pasti ruang tamu kelihatan menarik dengan dekor yang tersendiri. Namun jangan dilupa aspek aliran trafik agar tetamu sentiasa berasa selesa ketika menjamu selera.


4 Hari Menjelang Aidilfitri
Tahukah anda mengalihkan permaidani mampu menimbulkan mood berbeza kepada sesebuah ruang? Ubahkan mood atau atmosfera ruang dengan mengubah kedudukan permaidani pada setiap ruang. Contohnya, anda boleh meletakkan permaidani yang dahulunya digunakan di ruang menonton dan dialihkan ke ruang tamu. Ia bakal mewujudkan kesan yang berbeza, malah merupakan cara mudah untuk memberikan sesebuah ruang wajah yang baru.




3 Hari Menjelang Aidilfitri
Nampaknya kesemua elemen penting dekorasi sudah hampir terlaksana seperti mengubah susun atur ruang dan posisi permaidani ruang. Kini beralih kepada elemen penambah seri kepada gaya dekor ruang. Andai anda tidak berkesempatan untuk menukarkan upholsteri, membeli sarung kusyen baru adalah cara terbaik untuk menaikkan seri pada sofa anda terutamanya di ruang tamu. Ruang tamu merupakan ruang penting yang bakal menerima kunjungan tetamu yang datang. Dengan aturan sarung kusyen yang menarik dari pilihan warna-warna kontras daripada fabrik sofa atau fabrik bermotif akan memberikan impak ruang yang lebih anggun.

2 Hari MenjelangAidilfitri
Kesibukan menyambut lebaran semakin terasa dan sudah semestinya anda semakin sibuk membuat pelbagai persiapan lain selain dekorasi. Inilah masa terbaik buat anda untuk memberi perhatian kepada perincian-perincian kecil dekorasi ruang. Melalui perincian yang kecil inilah yang akan menghidupkan lagi suasana Aidilfitri anda. Antara aksesorinya adalah balang atau bekas kuih Raya yang menarik, pasu hiasan serta aksesori hiasan lain yang bertepatan dengan konsep ruang anda. Pastikan ia teratur rapi di meja kopi mahupun meja sisi.

1 Hari Menjelang Aidilfitri
Hari terakhir untuk memberikan impak menarik kepada wajah kediaman sebelum tetamu datang berkunjung di Aidilfitri. Berikan wajah ruang malar segar dengan sentuhan bungaan segar. Letakkan di ruang masuk, ruang tamu dan juga ruang makan. Anda pasti tidak percaya dengan perubahan yang dibawakan oleh bungaan segar ini.

Semoga kediaman anda bertambah seri di Aidilfitri tahun ini. Dari imanpuri interior architecture & interior, Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan. Jadikan Aidilfitri lebih bermakna dengan gaya dekor ruang yang menawan.