Friday, January 13, 2012

Dunia inspirasi & ekspresi dekorasi

Hari ini semuanya mengenai trend dan style statement. Ya, kerana kediaman adalah syurga hidup kita semua. Selamat datang kembali ke blog dekorasi ini. Sedikit berbeza daripada apa yang anda lewati sebelum ini, saya selimutkan keindahan dunia dekorasi untuk anda nikmati, mencedok inspirasi dan berkongsi ekspresi dalam memenuhi impian di hati.

Bagi sesetengah orang, Tahun Baru akan atau tidak menterjemahkan ia kepada makeover kediaman. Tetapi bagi mereka yang sememangnya inginkan perubahan terhadap kediaman mereka, mungkin apa yang dipaparkan boleh dijadikan sumber ilham memandangkan saya akan membicarakan tentang trend yang bakal menyinari pada tahun 2012. Moden-Retro bakal melakar gaya dekorasi kediaman di tahun ini. Trend tata hias moden yang diolah dengan elemen chic di samping menekankan aspek keselesaan. Pendekatan gaya dekorasi sebegini mengenengahkan pemilihan material eksotik, penguasaan motif, kombinasi warna unik dan tata hias dalaman yang menyeronokkan. Sentuhan perabot koleksi pereka juga bakal menyuntik nilai eksentrik kepada gaya dekorasi.


Kelabu dipilih sebagai warna dominan kerana ia menawarkan fleksibiti tatkala menggayakan ruang berkonsepkan Moden-Retro. Tona ini memberikan mood yang lebih tenang ketika melangkah masuk ke ruang dalaman kediaman. Bagi menampilkan gaya ruang lebih chic, pilihan motif chevron pada kusyen dan lampu drum menawarkan impak klasik di ruang moden. Sofa kelabu yang ditempah khas diganding bersama kerusi pereka 'egg-chair' berona kuning mustard yang memberikan sedikit percikan warna pada ruang selain unsur kemewahan. Permaidani bermotif abstrak mencedok idea motif retro yang kerap digayakan pada tahun 1960-an.Perabot  material kayu yang diaplikasi pada meja kopi dan tempat meletak majalah menyeimbangkan penggayaan ruang selain menampilkan ilham lebih sleek. Bagi melengkapkan penggayaan dekorasi seharian, candlebra dan gubahan bunga kontemporari menyempurnakan lagi penggayaan Moden-Retro anda, manakala lukisan abstrak geometri memberi karakter di ruang dinding.


Godaan si jingga tangerine sungguh magis sebagaimana menjadi warna pilihan bagi Pantone bagi tahun 2012 - Tangerine Tango. Bawakan warna berani ini ke ruang dalaman anda. Namun pastikan aplikasinya bertepatan dan mempunyai kesesuaian dengan penggunaannya.


Ya, hidup hari ini perlu dinikmati sepenuhnya. Sama ada hiasan di kediaman sendiri, ke tempat kerja mahupun tempat istirehat,  kita mahu ia diserikan dengan pesona elemen dekorasi. Sekurang-kurangnya mata terjamu dengan keindahan yang dapat merungkai keresahan di jiwa.

RO Salon yang mendapat sentuhan imanpuri interior & architecture
Jika anda memutuskan untuk menggunakan khidmat pereka hias dalaman bagi merealisasikan projek pengubahsuaian, nasihat saya dapatkan yang benar-benar faham kehendak dan cita rasa anda agar dapat membantu anda mendapatkan mahligai impian. Dan bermula entri ini e-mel saya ya di imanpuri@yahoo.com, kerana saya mahu mendengar pandangan dan kemusykilan anda. Andai ingin terus mendapatkan perkhidmatan saya, bolehlah singgah ke 19B, Pusat Perdagangan Suri Puteri, Persiaran Jubli Perak, Seksyen 20, Shah Alam.

Selamat tahun baru dan salam dekorasi.