Tuesday, March 20, 2012

1001 Kediaman (Bahagian 2)

Dilema dekorasi kali ini pernah dipaparkan di dalam majalah Impiana isu Mei 2011. Beberapa persoalan berkaitan permasalahan dekorasi di ruang kediaman telah dirungkaikan dengan solusi yang praktikal.

Via IKEA
Anak-anak saya suka menconteng dinding menggunakan pen dan juga pensil. Adakah terdapat cara untuk saya melindungi wajah dinding kediaman daripada rosak akibat contengan mereka?
Usah sekat kreativiti anak anda kerana ini membantu memperkembangkan minda mereka ketika membesar. Solusi ideal yang boleh anda lakukan dalam menangani permasalahan ini adalah dengan menyediakan satu ruang kreatif di mana anak-anak anda boleh meluahkan ekspresi seni mereka. Sama ada di ruang kamar ataupun di bilik khas untuk bermain. Sediakan satu bahagian panel dinding dan ia mestilah terdiri daripada kemasan material yang mudah diselenggara contohnya menggunakan kemasan cat yang boleh dicuci, panel kaca ataupun papan putih yang besar.

Feature wall ruang tamu saya digayakan dengan kemasan kertas dinding bermotif wama hitam dan turquoise. Apakah pilihan warna dinding sisi yang paling sesuai dipadankan pada ruang tamu ini?
Gabungan dua warna yang anda gayakan ini sangat cantik dan dapat menerbitkan impak ruang yang lebih dramatik. Bagi mengimbangi warna yang berat dan berani ini, saya mencadangkan penggunaan warna-warna pastel seperti off white. Ia secara tidak langsung memberi efek ruang lebih senada dan kelihatan cantik dalam satu pelan lantai ruang yang sama.

Suatu ketika dahulu saya ada membeli sebuah katil dan kepala katil yang di upholstery dengan fabrik bermotif bunga-bungaan. Apa yang menjadi isu adalah agak sukar untuk saya padankan sarung cadar yang kelihatan serasi digayakan bersama serta tidak mahu ruang kamar kelihatan terlampau feminin. Boleh anda berikan idea tentang perkara ini?
Langkah berani yang boleh anda ambil adalah merubah atau menukar upholstery dengan fabrik yang rata. Ianya boleh dipadankan dengan bermacam-macam jenis cadar seperti putih, coklat, hitam ataupun merah hati untuk menaikkan mood pada ruang. Anda boleh menggunakan kusyen pelbagai motif kesukaan sebagai penyeri kepada ruang beradu anda ini. Sekiranya anda masih ingin mengekalkannya, apa yang anda boleh lakukan anda memilih cadar dengan rona-rona asas seperti putih, hitam, beige dan juga krim. Bagi menonjolkan impak ruang lebih bergaya, pilih fabrik cadar yang mempunyai tekstur seperti jahitan ataupun perincian struktur.

Saya membeli sebuah kediaman teres lama dengan keadaan bumbung yang sudah rosak. Boleh anda cadangkan jenis atap dan kesesuaiannya?
Anda boleh memilih jenis atap yang mampu bertahan dengan lebih lama dan juga mudah diselenggara. Ia merupakan pelaburan yang sangat berbaloi bagi mendapatkan bumbung kediaman yang sentiasa cantik dan tidak kusam dimamah cuaca. Monier merupakan antara pilihan terbaik kerana ia menawarkan rangkaian bumbung buat pemilik kediaman. Malah ia juga peneraju kepada bumbung berteknologi hijau yang lebih mesra alam. Di Monier anda boleh mendapat jenis bumbung yang dapat menjimatkan tenaga dan bil elektrik sehingga 30% dan rasa sejuk lebih 10ยบ. Malahan terdapat pilihan yang lebih terkini sama ada anda mahukan bumbung sejuk ataupun bumbung solar.

Kediaman saya mempunyai bay window. Apakah dekorasi yang sesuai dilakukan pada ruang tersebut?
Tidak dapat dinafikan kedudukan bay window sering menimbulkan dilema buat pemilik kediaman. Langkah yang paling praktikal perlu anda lakukan adalah membina ruang duduk/santai tambahan di ruang bay window ini. Bagi memberikan nilai tambah pada ruang ini, lengkapkan binaan tempat duduk ini dengan unit penstoran di bahagian bawahnya. Bagi kemasan langsir pula, bidai roller atau roman adalah yang paling sesuai digaya an bagi menonjolkan reka bentuk bay window.

Via IKEA

Saya mahukan sesuatu yang selesa di ruang membaca/lounge, tetapi juga mahukan sesuatu yang selesa untuk tetamu tidur. Saya tidak sukakan penggunaan futon memandangkan ruang yang ada juga terhad. Apakah idea yang anda rasakan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini?
Futon telah menjadi begitu popular di negara barat sejak dahulu lagi kerana ia menyajikan dwifungsi kepada penggunaan ruang. Oleh kerana reka bentuk futon yang kebiasaannya bersaiz agak dempak, ia tidak sesuai digayakan di ruang membaca atau bilik pelbagai guna meskipun reka bentuknya kelihatan lebih menarik dan bergaya. Apa yang boleh anda lakukan adalah membeli day bed yang turut menyediakan dwifungsi sebagai tempat untuk membaca dan juga boleh dijadikan tempat tidur. Apa yang penting adalah kesesuaian perabot dipilih berpandukan saiz ruang yang ada.  


Monday, March 12, 2012

Acapella, Ruang Terhad Punyai Gaya Hebat


Ira kayu bagaikan bergurindam membisikkan pesona keindahan gaya dekorasi kediaman ini. Keserasian antara jalinan corak yang terbentuk mencipta karakter ruang dan paling penting memberi kelegaan pada mata yang memandang.

Menata kediaman berkeluasan terhad sememangnya menuntut kreativiti yang tepat agar ia menjadi tempat yang paling selesa. Bijak memilih dan mengawal susun atur pastinya menjadi rencah utama penggayaan. Kali ini Profil Projek imanpuri interior & architecture memaparkan gaya hias kediaman berkeluasan terhad. 

Profil projek:
Projek: Apartmen
Lokasi: Apartmen Servis Sri Acapella, Shah Alam



S:Apakah cetusan idea dekorasi bagi apartmen ini?
Anis Amir: Idea kontemporari yang segar dengan bermain lebih banyak perabot moden berpotongan ringkas bersulamkan rona natural dan material venir sebagai elemen utama penggayaan. Kediaman ini mempunyai reka bentuk segi empat sama. Ia mempunyai dua buah  bilik tidur dan satu bilik bacaan.


"Bilangan perabot yang minima menjadikan ruang tamu selesa dan kelihatan luas. Dominasi rona terang pada dinding memberikan dimensi ruang yang menenangkan dan damai apabila digandingkan dengan tona kayu venir yang menawan. "                                                                 - Anis Amir




S:Bagaimana dari aspek pemilihan perabot memandangkan keluasan kediaman yang agak terhad?
Anis Amir: Ruang tamu yang sederhana luas dihias sempurna dengan sofa berbentuk L. Alasan pemilihan perabot sebegini dapat menjimatkan penggunaan ruang dan lantas mencipta keselesaan ketika menonton televisyen mahupun semasa kedatangan tetamu. Perabot binaan dalam bagi kedua-dua bilik tidur dan bilik bacaan turut membantu dalam mewujudkan ilusi ruang yang lebih lapang.



S:Kenapa venir menjadi pilihan?
Anis Amir: Tanpa perlu banyak aksesori, latar dinding yang diperkemaskan dengan kepingan venir menjadi sebagai elemen hiasan utama kediaman ini. Ia berjaya menonjolkan kekuatan personaliti ruang seterusnya mencipta pesona elegan dan impak lebih sofiskated. Malahan setiap kepingan venir bagaikan menitip ceritanya tersendiri dengan corak ira dan tonanya yang berbeza serta unik. Antara jenis venir yang digunakan adalah venir Sapeli bagi kabinet kasut gantung berdekatan ruang pintu masuk, venir Satin Apple di kabinet televisyen dan panel pembahagi ruang makan, venir Green Heart Poplar yang digabung bersama cermin di ruang makan serta  venir Zebrano bagi kepala katil bilik tidur kedua. Yang paling menarik adalah kemasan venir Mapa Burl di siling ruang makan yang mencipta pesona ruang lebih eksotik.



S:Apakah resipi sebuah dapur yang praktikal bagi ruang terhad?
Anis Amir: Ruang terhad memang menyukarkan pembentukan binaan pulau di ruang dapur. Namun solusi terbaik adalah dengan pembentukan kabinet dapur berbentuk 'U' dengan bahagian penjuru dijadikan ruang kaunter bar. Pastikan anda memilih jenis penstoran yang tepat agar segenap ruang kabinet dimanfaatkan sepenuhnya.

 


Semoga anda mendapat cetusan ilham yang boleh diadaptasikan dalam kediaman sendiri melalui paparan projek yang pernah menghiasi majalah Impiana ini. Nantikan kupasan dilema dekorasi dalam segmen 1001 Kediaman akan datang.