Mencipta atmosfera yang terbaik buat salon kecantikan adalah bahagian terpenting bagi menarik dan mengekalkan pelanggan anda. Beberapa faktor akan mempengaruhi atmosfera termasuklah warna, pencahayaan, aksesori dekorasi dan ruang pameran. Menentukan mood yang dimahukan di salon, adalah sesuatu yang perlu dilaburkan oleh pemilik dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik buat para pelanggannya. Berpeluang melaksanakan projek dekorasi salon buat pertama kalinya memberikan pengalaman berbeza dari perspektif tata hias dalaman. Apatah lagi pemilik RO Salon yang sememangnya mempunyai nilai cita rasa yang tinggi dari segi tata hias dalaman.
Profil projek:
Projek : RO Salon
Pereka bentuk dalaman: imanpuri interior & architecture
Lokasi : USJ, Subang
Konsep : Moden Glam
Fotografi : snbphotography
S: Apakah yang dimahukan oleh pelanggan (pemilik salon)?
Anis Amir: Client ini merupakan sahabat baik kepada Azmie Kamal. Pasangan ini bernama Wan dan isterinya Akiko yang berbangsa Jepun. Mereka mahukan gaya dekorasi sebuah salon dan butik yang glamor dengan perincian yang berani dan unik. Sebagai pemilik salon, mereka mahu memberikan perkhidmatan sebaik mungkin. Pelanggan yang gembira akan setia, dan bakal kembali untuk rawatan dandanan berulang-kali. Pelanggan akan memperuntukkan berjam lamanya di dalam salon untuk mewarna atau memotong rambut, dan mereka mahu mewujudkan suasana yang selesa buat pelanggan yang datang.
S: Siapa atau apa yang mempengaruhi rekaan hiasan anda bagi projek salon ini?
Anis Amir: Kebanyakannya adalah dari client kerana mereka sangat terdedah dengan dunia fesyen dan begitu trendy. Bagi susunan perabot dan reka letak adalah mengikut feng shui Jepun, contohnya bahagian kaunter tidak boleh menghadap pintu utama. Ia haruslah diletakkan di sebelah kiri pintu masuk. Kebersihan toilet juga sangat diutamakan, membuatkan client begitu berani sehingga menggayakan kemasan kertas dinding di dinding toilet salon mereka.
S: Bagaimana anda meletakkan kesemua skema kelihatan serasi digandingkan?
Anis Amir: Paling utama adalah warna simbol kekayaan dan keserasian client. Warna jingga sebagai warna dominan, manakala perabot kebanyakan berwarna hitam dan putih menyerlahkan pesona ruang yang extremely chic. Penggunaan elemen cermin memberikan mood ruang lebih glam and gives the impression that they run a cutting edge salon.
S: Dengan ketelitian terhadap perincian, projek ini memerlukan penggayaan barangan dan aksesori yang ditempah khas dan mempunyai nilai cita rasa yang eksklusif. Apakah barangan yang anda rasakan sesuatu yang begitu istimewa?
Anis Amir: Cermin dan meja yang digunakan ketika membelai rambut pelanggan yang datang sangat menarik dengan kombinasi kemasan mirror dan stainless steel. Dekorasi dan skema rekaan yang digunakan ini dapat mencipta ambience yang membuatkan pelanggan kembali bukan hanya untuk mendapatkan dandanan rambut terbaik.
S: Apakah bahagian atau rekaan kegemaran anda bagi projek ini?
Anis Amir: Toilet! Pelik, tapi ia memang benar. Tetapi gambaran hasil seninya tidak dapat dikongsi bersama. Jika anda ingin tahu perlulah datang ke salon ini. Kemasan kertas dinding berwarna cooper dan feature wall bermotif bungaan begitu cantik sehingga membuatkan anda tidak mahu keluar dari ruang ini ... ha..ha..ha..agak janggal bukan? Selain daripada itu, ruang menunggu juga sangat menarik di mana terletak di ruang tengah salon. Aturan sofa yang sangat selesa dan terlindung dari pandangan orang ramai memberikan kesan lebih privasi. Ruang menunggu yang selesa ini dilengkapi dengan set TV dan audio, ditemani dengan majalah dan juga paparan dekorasi dinding yang menjadikan pelanggan lebih gembira sebelum janji temu mereka di salon dimulakan.
S: Apakah terdapat cabaran dalam rekaan yang anda hadapi sewaktu mendekorasi salon ini?
Anis Amir: Cabaran kali ini sangat berbeza, pertama kali membuat projek ID tanpa plan. Semuanya lakaran di dinding site dan hasil perkongsian imaginasi saya, Azmi dan client. Apa yang boleh saya simpulkan, pengalaman yang selesa dengan gaya dekorasi menarik dan susun atur adalah kunci yang mengekalkan pelanggan salon anda. Mencipta persekitaran yang bertepatan dengan rawatan dandanan yang terbaik akan memberikan pengalaman yang lebih bermakna buat para pelanggan yang datang. Lukisan, dekorasi dan mempunyai perabot salon yang selesa adalah kesemua aspek yang perlu ada pada setiap pemilik salon dandanan apabila mereka mempertimbangkan rekaan bagi perniagaan mereka.