Wednesday, April 6, 2011

Rekabentuk dwi-functional kediaman apartment

Sudah lama saya ingin berkongsi idea dekorasi rumah kediaman yang hampir 2 tahun saya design interior apartment ini...Alhamdulillah segala cetusan idea yang diimpi dan diangankan oleh pemilik apartment ini berjaya saya  meralisasikan dan hasilnya pemilik rumah dapat  berteduh dengan ruang yang ceria dan praktikal bersama anak-anak...

" Memiliki kediaman sendiri adalah saat manis yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi ia bakal menjadi tempat berteduh yang selesa buat kami sekeluarga. Untuk itu, saya telah mengubahsuai kediaman ini menjadi sebuah kediaman yang dapat memenuhi kehendak setiap penghuni nya".


Koordinasi ruang yang sempurna diselaraskan mengikut keluasan ruang yang ada. Pemilihan sofa berbentuk L yang diletakkan di ruang sudut sangat praktikal dengna fungsi ruang yang menjadi tumpuan tetamu. Suntikan rona jingga daripada sofa dan ottoman berjaya menghidupkan lagi suasana ruang tamu kediaman ini.


Aksesori memainkan peranan dalam memberi sentuhan terakhir kepada wajah sesebuah ruang. Saya telah memilih bunga tiruan, bebola rotan dan juga potret keluarga sebagai medium yang bakal mencorakkan lagi keindahan segenap ruang kediaman.

 Apa yang menjadi kunci kehebatan ruang kamar ini adalah pintu yang mudah dilaraskan penggunaan mengikut keluasan ruangnya. Nilai praktikaliti dan fungsian hebat menyerlahkan identiti ruang dengan konsep rekaan yang moden. Binaan kabinet pamer binaan dalam menjimatkan penggunaan ruang yang terhad selain menjadi unit penstoran yang bijak.

Dominasi material kaca seperti cermin dan kaca telus pandang menyerlahkan prinsip moden yang digayakan pada kediamna ini. Berperanan sebagai pembangkit ilusi ruang agar lebih luas, ruang kediaman kelihatan berganda di samping melampiaskan ilham seni bina berpotongan moden.


Pemilihan perabot binaan dalam di ruang kamar beradu utama seperti bahagian katil ini adalah solusi bijak dalam merungkai permasalahan ruang yang begitu terhad. Dominasi latar dinding rona putih menghasilkan refleksi cahaya yang lebih terang kepada ruang kamar, seterusnya mewujudkan dimensi ruang agar tampil lebih luas.

Idea rekaan di kamar anak-anak tampil dengan ceria dengan inspirasi dekor yang bakal mewarnai imaginasi mereka. Ruang kamar diperuntukkan sebagai temapt belajar, almari pakaian dan unit penstoran barangan mainan. Ruang lantai dinaikkan sedikit menjadi platform yang berkemasan lantai kayu berlamina di mana kebanyakan aktiviti si kecil dilakukan di ruang ini. Binaan meja almari binaan dalam dan meja merupakan penyelesain bijak dalam merencanakan ruang kamar si kecil yang berkeluasan minima. Aplikasi cermin besar di ruang dinding menghasilkan impak ruang yang lebih besar. Rekaan di kamar si kecil ini juga tidak mementingkan praktikaliti dan memberikan keselsaan, malah terapi warna yang ditonjolkan juga mempengaruhi mood mereka sewaktu berada di ruang ini.

Oleh kerana pemilik kediaman ini bekerja di rumah, siaz meja makan yang besar merupakan satu keperluan. Ini kerana, selain berfungsi sebagai tempat menjamu selera, meja tersebut juga dijadikan tempat bekerja, menulis, melukis dan membaca pelan bersaiz besar. Ruang makan diisi meja makan panjang lapan tempat duduk daripada paduan material kaca dan kayu padu. Selitan sofa berpotongan moden rona merah memberikan karakter berbeza pada ruang ini. Dinding sisinya diperkemaskan dengan panel cermin besar yang memenuhi ruang dinding bagi mengilhamkan ruang mkaan dan dapur tampil lebih luas dan besar.

 Ruang dapur yang dilengkapi dengna kabinet dasar dan kabinet gantung sebagai unit penstoran ini boleh dilihat secara langsung dari ruang makan. Ruang dapur kering ini juga kelihatan menarik dengan kombinasi rona merah dna putih. Malah, setiap elemen yang saya tonjolkan juga menerapkan nilai praktikal dan fungsi ruang digunakan secara optimum. Terutama sekali dari segi pengaturan ruang dan pemilihan material perabot.
 Baiklah setakat ini yang saya boleh kongsikan ruang kediaman rumah  yang diilhamkan dengan penuh praktikal dan kebanyakan nya adalah dwi-function. Bagi saya, keselesaan pada kediaman penting kerana kediaman bukanlah sebuah ruang untuk dipertontonkan. Selain itu, kesinambungan antara gaya, nilai praktikal dan menepati keperluan serta gaya hidup juga menjadi kunci kekuatan sebuah kediaman yang ideal.

teruskan 'stay tune'  bersama saya anis-amir....pakar dekorasi bersama anda!!!