Friday, May 24, 2013

SFB CAFE - KLIA

Menerima sentuhan pereka bentuk dalaman daripada imanpuri interior & architecture, SFB Café merupakan salah satu tarikan pencinta kulinari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pereka telah mencipta ruang kasual demi menonjolkan elemen keselesaan, manakala ruang interior diinspirasikan oleh elemen-elemen moden kontemporari seperti pemilihan perabot, perincian seni bina, aplikasi material kayu dan kaca serta kemasan kayu venir yang secara langsung memberikan impak visual yang berbeza.


TARIKAN PERTAMA
Mewujudkan tarikan utama kepada pelanggan melalui pendekatan dekorasi telah menjadi aliran trend masa kini dalam tata hias dalaman ruang kafe atau restoran. Gaya dekor di bahagian pintu masuk dapat mencipta tarikan kepada pelanggan yang mahu menjamu selera. Imanpuri interior & architecture menggunakan pendekatan seni bina melalui pemasangan panel kayu vertikal dan kekotak di mana secara tidak langsung memberi gambaran unsur-unsur garisan yang digayakan pada keseluruhan ruang kafe ini.

PERINCIAN PEREKA
Dimensi garisan kelihatan lebih menyerlah di sesetengah bahagian ruang yang dipasang venir sebagai kemasan dinding. Malahan jika diperhatikan pada setiap bahagian ruang makan di kafe ini, perincian kemasan siling mengenengahkan karakter ruang yang berbeza namun kekal harmoni dengan keseluruhan konsep ruang.

Begitu juga dengan kepelbagaian kemasan lantai yang membezakan setiap bahagian menjamu selera di kafe ini, memecah kebosanan ruang yang hanya didominasi dengan aplikasi jubin biasa. Pemilihan perabot juga disesuaikan mengikut aturan ruangnya. Potongan reka bentuk yang bersifat kontemporari menjadi pilihan dan dipadankan dengan aksesori pencahayaan yang menarik.

Kepentingan untuk menzahirkan ruang kafe yang selesa diperlihatkan melalui susun atur perabot dan kelancaran aliran trafik yang memastikan pelanggan yang menjamu selera berasa senang ketika menikmati hidangan mereka. Perencanaan ruang yang bijak dari segi gaya dekorasi, pemilihan perabot serta penonjolan karakter yang membentuk identiti ruang dapat menjadikan sesebuah ruang kafe atau restoran sentiasa menjadi pilihan pelanggan masa kini. Dapatkan khidmat pereka bentuk dalaman di imanpuri interior & architecture sekiranya anda mahukan gaya dekor ruang yang lebih menarik dan anggun.