Monday, January 30, 2012

Transisi Dekorasi

Dekorasi tidak lagi menjadi perkara asing bagi pemilik kediaman kini. Malahan tata hias dalaman bagaikan menjadi satu kemestian tatkala memasuki ke kediaman baru. Bagaikan menjadi rencah kepada gaya hidup masa kini, kediaman yang indah didekorasi membentuk kesempurnaan maknanya. Bak pepatah yang sering diperdengarkan, "Rumahku, syurgaku".

Kali ini, saya ingin titipkan sebuah projek imanpuri interior & architecture yang telah dipaparkan di dalam majalah Glam Deko Edisi 13/2011 Okt-Nov. Banglo baru yang terletak di kawasan perumahan 20trees Melawati ini mengenengahkan konsep Moden-Retro yang kian menjadi konsep 'comeback' dalam gaya dekor kerana ia memaparkan idea hiasan yang chic dengan sentuhan karakter yang mencipta pesona tersendiri. Lakaran inspirasi dimulakan dengan lukisan 3D bagi memberi gambaran konsep sebagaimana yang diinginkan oleh pelanggan.


Ruang tamu

Sudut di bawah tangga

Ruang menonton

Bilik tidur utama

Bilik tidur anak perempuan

Setelah lukisan 3D mendapat persetujuan daripada pelanggan, projek renovasi pun dimulakan, diikuti dengan tata hias dalaman bagi mendapatkan sentuhan gaya dekorasi yang diidamkan. Bersama ini saya kongsikan cita rasa dan inspirasi di sebalik penggayaan tata hias dalaman kediaman ini.



1. Apakah yang terlintas di fikiran anda ketika kali pertama melihat kediaman ini?
ANIS AMIR: Sudah tentu sangat teruja kerana berpeluang berkarya untuk luxury home yang terletak di Melawati di mana ikon kediaman mewah. Maka sudah tentu pemilik kediaman ini juga mempunyai nilai cita rasa yang tinggi. Jesteru itu, segala perancangan bagi tata hias dalaman juga menuntut perencanaan yang begitu terperinci.

2. Bagaimana penentuan konsep dilakukan?
ANIS AMIR: Pemilik telah memilih konsep Moden-Retro bersama sedikit sentuhan urban. Agar kediaman tidak kelihatan janggal dengan gaya hidup masa kini, kombinasi elemen urban dapat membangkitkan nilai seni kepada ruang selain menambah efek keunikan dan daya penarik.






3. Bagaimana perubahan terhadap pelan lantai dilakukan dan berapa lama masa yang diambil?
ANIS AMIR: Selama dua minggu masa yang dimabil untuk menyiapkan kerja-kerja perincian tata hias dalaman seperti yang diminta oleh pemilik. Arkitek juga sangat menitik beratkan perancangan pelan lantai dan juga memaksimumkan pencahayaan semula jadi dan pengaliran udara.

4. Berapa lamakah masa diambil bagi melengkapkan kemasan terakhir bagi tata hias dalaman kediaman ini?
ANIS AMIR: Enam minggu masa diperuntukkan bagi membuat kerja-kerja penambahan plaster siling, elemen pencahayaan serta kerja-kerja pertukangan. Bagi kemasan lembut pula, pemilik telah memberikan peruntukan yang besar demi mendapatkan impak yang diidamkan. Saya telah bekerjasama  bersama rakan baik Azmi Kamal yang juga merupakan pemilik Anam Ong, di mana merupakan seorang yang pakar di dalam pemilihan sentuhan yang dapat menyempurnakan gaya dekorasi kediaman seperti kertas dinding, elemen pencahayaan, perabot loose dan kemasan tingkap yang bercitarasa tinggi.




5. Apakah cabaran sewaktu mereka bentuk kediaman banglo ini?
ANIS AMIR: Kekangan deadline yang singkat memberi tekanan di dalam perancangan kerja agar hasilnya dapat memuaskan hati pemilik tanpa mengabaikan aspek-aspek dekorasi yang utama. Selain itu juga, pengawasan yang terperinci perlu dilakukan bagi menghindari sebarang masalah dari timbul di tapak projek. Malahan, ruang projek juga perlu dilindungi memandangkan kemasan lantai asal adalah marmar dan kayu padu di mana ia perlu ditutup dengan rapi agar tidak rosak.




6. Di manakah ruang kegemaran anda? 
ANIS AMIR: Sudah semestinya ruang tamu yang berinteraksi secara langsung dengan ruang courtyard dan kolam renang. Ia menghubungkan ruang dalam dan luar kediaman, melimpahkan ruang dalaman dengan simbahan cahaya semula jadi dan udara luar yang segar. Memang mengasyikkan!





7. Pendekatan reka bentuk dapur.
ANIS AMIR: Ruang dapur hanya diberi penambahan kabinet sebagai unit penstoran serta elemen pencahayaan di kaunter bar bagi mendapatkan efek lebih terperinci dan menarik. Secara keseluruhan, kombinasi perabot kemasan, pencahayaan dan kemasan di kediaman ini berjaya mengenengahkan cita rasa yang tinggi dalam gaya dekorasi.




"Taste is relative and is the sum total of the intellectual and emotional experiences of the individual experiences of the individual. Taste, in order to be positive and vital, must be exercised and developed. Taste is changeable and is influenced by environment. A highly cultivated taste, a taste that is knowledgeable and eclectic, is likely to be exciting and provocative, a personal taste at its highest level."  
                                                                             - Eleanor Brown, The Finest Rooms by America's Great Decorators


*Lukisan 3D adalah hak cipta imanpuri interior & architecture.

Friday, January 13, 2012

Dunia inspirasi & ekspresi dekorasi

Hari ini semuanya mengenai trend dan style statement. Ya, kerana kediaman adalah syurga hidup kita semua. Selamat datang kembali ke blog dekorasi ini. Sedikit berbeza daripada apa yang anda lewati sebelum ini, saya selimutkan keindahan dunia dekorasi untuk anda nikmati, mencedok inspirasi dan berkongsi ekspresi dalam memenuhi impian di hati.

Bagi sesetengah orang, Tahun Baru akan atau tidak menterjemahkan ia kepada makeover kediaman. Tetapi bagi mereka yang sememangnya inginkan perubahan terhadap kediaman mereka, mungkin apa yang dipaparkan boleh dijadikan sumber ilham memandangkan saya akan membicarakan tentang trend yang bakal menyinari pada tahun 2012. Moden-Retro bakal melakar gaya dekorasi kediaman di tahun ini. Trend tata hias moden yang diolah dengan elemen chic di samping menekankan aspek keselesaan. Pendekatan gaya dekorasi sebegini mengenengahkan pemilihan material eksotik, penguasaan motif, kombinasi warna unik dan tata hias dalaman yang menyeronokkan. Sentuhan perabot koleksi pereka juga bakal menyuntik nilai eksentrik kepada gaya dekorasi.


Kelabu dipilih sebagai warna dominan kerana ia menawarkan fleksibiti tatkala menggayakan ruang berkonsepkan Moden-Retro. Tona ini memberikan mood yang lebih tenang ketika melangkah masuk ke ruang dalaman kediaman. Bagi menampilkan gaya ruang lebih chic, pilihan motif chevron pada kusyen dan lampu drum menawarkan impak klasik di ruang moden. Sofa kelabu yang ditempah khas diganding bersama kerusi pereka 'egg-chair' berona kuning mustard yang memberikan sedikit percikan warna pada ruang selain unsur kemewahan. Permaidani bermotif abstrak mencedok idea motif retro yang kerap digayakan pada tahun 1960-an.Perabot  material kayu yang diaplikasi pada meja kopi dan tempat meletak majalah menyeimbangkan penggayaan ruang selain menampilkan ilham lebih sleek. Bagi melengkapkan penggayaan dekorasi seharian, candlebra dan gubahan bunga kontemporari menyempurnakan lagi penggayaan Moden-Retro anda, manakala lukisan abstrak geometri memberi karakter di ruang dinding.


Godaan si jingga tangerine sungguh magis sebagaimana menjadi warna pilihan bagi Pantone bagi tahun 2012 - Tangerine Tango. Bawakan warna berani ini ke ruang dalaman anda. Namun pastikan aplikasinya bertepatan dan mempunyai kesesuaian dengan penggunaannya.


Ya, hidup hari ini perlu dinikmati sepenuhnya. Sama ada hiasan di kediaman sendiri, ke tempat kerja mahupun tempat istirehat,  kita mahu ia diserikan dengan pesona elemen dekorasi. Sekurang-kurangnya mata terjamu dengan keindahan yang dapat merungkai keresahan di jiwa.

RO Salon yang mendapat sentuhan imanpuri interior & architecture
Jika anda memutuskan untuk menggunakan khidmat pereka hias dalaman bagi merealisasikan projek pengubahsuaian, nasihat saya dapatkan yang benar-benar faham kehendak dan cita rasa anda agar dapat membantu anda mendapatkan mahligai impian. Dan bermula entri ini e-mel saya ya di imanpuri@yahoo.com, kerana saya mahu mendengar pandangan dan kemusykilan anda. Andai ingin terus mendapatkan perkhidmatan saya, bolehlah singgah ke 19B, Pusat Perdagangan Suri Puteri, Persiaran Jubli Perak, Seksyen 20, Shah Alam.

Selamat tahun baru dan salam dekorasi.